Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah di Langgak Duta ketika PRN Melaka hampir melabuhkan tirainya.

Sensasi Langgak Duta, tamatnya PRN Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Jalan Langgak Duta tiba-tiba popular. Ia menjadi sebutan disebabkan Datuk Seri Najib Tun Razak kembali ke situ untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Jeritan ‘bossku’ mengiringi kepulangan Najib pada malam Rabu lalu sebaik kenderaan yang membawanya memasuki Jalan Langgak Duta.

Sensasi Jalan Langgak Duta semakin terserlah apabila lokasi dikenali sebagai Jabatan Penjara Malaysia-Cawangan Duta muncul di aplikasi Google Maps selepas kawasan tersebut diwartakan sebagai penjara.

Najib yang sepatutnya menginap di tempat baharu lebih awal selepas menjelaskan denda RM50 juta tidak dapat berbuat begitu selepas Peguam Negara menangguhkan kepulangannya atas sebab-sebab yang dinyatakan sebelum ini.

Sememangnya aura Najib tidak dapat dipertikaikan. Baik di luar atau dalam penjara namanya sering menjadi ratib pihak tertentu.

Kita lihat sendiri di media sosial bagaimana sokongan orang ramai kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu. Tetapi, walaupun begitu ada juga yang tidak menyokong dan mempersoalkan tahanan rumah yang diperintahkan ke atas Najib.

Secara kebetulan atau bukan, kepulangan Najib terjadi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah hampir ke penghujungnya. Orang Melaka akan memilih pemimpin mereka hari ini.

Seorang teman lama mendakwa kempen di Melaka tidak serancak sebelum ini kerana rata-rata orang sudah dapat mengagak siapa yang akan memimpin kerajaan Melaka. Pengundi sepertinya sudah selesa dengan pilihan mereka.

Ketika saya pulang ke Tanjung Kling kelmarin, ‘perang’ poster dan bendera biasa-biasa sahaja di sepanjang jalan di Lebuh AMJ. Mungkin berkempen di media sosial menjadi pilihan ketika ini. Jimat dan lebih meluas.

‘Perang’ poster hanya terjadi di kawasan bandar seperti Kelebang, Kota Laksamana, Kota Melaka dan Pengkalan Batu.

Poster di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong dan Merlimau hanya sekadar memenuhi syarat kerana jentera kepada calon-calon bertanding pun seakan dapat menjangka siapa yang bakal dipilih.

Tiada yang mustahil di dalam politik demokrasi. Segalanya boleh berubah dan tiada seorang pun yang dapat kekal memegang kuasa.

Jika mahu menang, pembangkang perlu kaji formula apa yang perlu digunakan untuk orang Melaka ‘tukau’ kepimpinan seperti yang terjadi pada 2018.

Barisan Nasional pula tidak akan sewenang-wenangnya menyerahkan negeri kepada pihak lawan. Aura ‘bossku’, Duyong dan Merlimau sentiasa membayangi kempen PRN Melaka. Tiada siapa yang dapat menafikannya.

Kempen daripada pengundi ikon seperti Uncle Wong dan Dak Nor menambahkan warna PRN di negeri Hang Tuah.

Tahniah kepada yang menang hari ini dan jalankan tugas dengan baik dan menyeluruh kepada pengundi kamu. Jangan ‘select’ dan santunilah ibu tunggal walaupun dia seolah-olah tidak memerlukan bantuan pada pandangan mata kamu.

Kepada yang kalah, teruskan berkhidmat untuk memenangi hati pengundi supaya kamu pula dipilih pada PRN akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN