MELAKA – Pengalaman dalam urusan pentadbiran dan pengurusan perbandaran di Kuala Lumpur menjadi antara kelebihan yang mahu dimanfaatkan bagi menambah baik kemudahan infrastruktur serta penyampaian perkhidmatan kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.
Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Azman Abidin berkata, pendedahan dalam membantu urusan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh dijadikan panduan untuk memperkukuh pengurusan perbandaran di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, pengalaman itu akan digunakan bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya menerusi kerjasama dengan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
“Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah sistem perparitan, penyelenggaraan longkang, pengurusan pembangunan serta keperluan infrastruktur bagi menampung pertambahan penduduk pada masa depan.
“Saya diminta melihat pentadbiran DBKL, jadi pengalaman dalam aspek perbandaran di Kuala Lumpur itu boleh digunakan untuk membantu penduduk Paya Rumput. Kita boleh melihat apa yang boleh ditambah baik dari segi perkhidmatan kepada penduduk di sini melalui MBMB,” katanya kepada Kosmo!
Katanya, masalah banjir merupakan antara isu utama yang dibangkitkan penduduk sepanjang tempoh kempennya, justeru memerlukan penyelesaian secara menyeluruh dan bukan sekadar tindakan sementara.
“Walaupun kawasan itu sudah dimasukkan dalam perancangan berkaitan banjir, sistem perparitan sedia ada juga perlu diteliti bagi memastikan ia mampu menampung keperluan pembangunan semasa,” katanya.

Menurutnya, kajian perlu dilakukan bagi mengenal pasti keperluan membesarkan longkang, menaik taraf sistem saliran serta meneliti semula perancangan pembangunan bandar untuk tempoh 10 tahun akan datang.
“Masalah banjir tidak boleh diselesaikan dalam tempoh 24 jam. Kita perlu membuat kajian dan mengenal pasti punca sebenar, termasuk sama ada longkang perlu dibesarkan atau sistem perparitan perlu dinaik taraf.
“Setiap pembangunan baharu juga perlu mengambil kira keperluan sistem saliran supaya masalah sama tidak terus berulang,” katanya.
Azman berkata, pengalamannya lebih 20 tahun dalam politik sejak 1998 turut menjadi bekalan untuk memahami keperluan masyarakat serta memperkukuh pendekatan khidmat kepada rakyat.
Beliau yang pernah memimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bandar Tun Razak selama lebih dua dekad berkata, pengalaman berkhidmat di Wilayah Persekutuan itu mahu dibawa untuk membantu masyarakat Paya Rumput sekiranya diberikan mandat.
Katanya, sepanjang tempoh berkempen, beliau menerima maklum balas positif daripada penduduk yang mahukan wakil rakyat prihatin serta bersedia mendengar dan menyelesaikan masalah mereka.
Azman berkata, selain isu banjir, penduduk turut membangkitkan masalah kos sara hidup, kesesakan lalu lintas, kemiskinan dan kesukaran mendapatkan akses kepada kemudahan kesihatan.
Katanya, golongan warga emas dan keluarga berpendapatan rendah juga memerlukan perhatian, khususnya apabila bantuan bulanan sedia ada belum mencukupi untuk tampung keperluan serta tanggungan mereka.
Beliau mahu melihat ruang penambahbaikan bantuan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain membantu golongan asnaf dan memperjuangkan keperluan masjid serta surau yang memerlukan kerja pembaikan.
Azman penghubung Paya Rumput dengan Persekutuan
MELAKA – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin berazam mahu menjadi ‘penghubung’ antara kawasan tersebut dengan Putrajaya sekiranya beliau dipilih untuk menjadi wakil rakyat di situ.
Menurut Azman, dalam aspek pembangunan, kedudukannya sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri juga boleh dimanfaatkan untuk menjadi penghubung antara penduduk dengan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, akses kepada Putrajaya membolehkannya membantu memudahkan urusan mendapatkan peruntukan Persekutuan bagi keperluan pembangunan di kawasan Parlimen Tangga Batu, termasuk Paya Rumput.
“Paling utama ialah soal peruntukan kerana ia penting untuk memastikan pembangunan dan keperluan penduduk dapat dilaksanakan. Saya boleh membantu menjadi pemudah cara untuk membawa peruntukan Kerajaan Persekutuan ke Parlimen Tangga Batu, termasuk kawasan DUN Paya Rumput.
“Akses saya kepada Putrajaya juga menjadi kelebihan untuk membantu menyelesaikan urusan peruntukan yang mungkin berdepan kelewatan atau kesukaran. Saya mahu menjadi penghubung antara penduduk Paya Rumput dengan Kerajaan Persekutuan supaya keperluan mereka mendapat perhatian,” katanya.
Tambah beliau, peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan anak muda turut menjadi antara keutamaan bagi mengurangkan penghijrahan golongan berkenaan ke luar Melaka.
Katanya, pembangunan ekonomi setempat perlu diperkukuh supaya anak muda mempunyai peluang pekerjaan yang baik dan tidak perlu meninggalkan negeri itu untuk mencari kehidupan lebih terjamin.
Tambah beliau, pendekatan yang mahu dibawa berteraskan khidmat kepada rakyat dengan memastikan setiap perancangan, sama ada berkaitan infrastruktur, kebajikan mahupun ekonomi, memberikan manfaat secara langsung kepada penduduk. -KOSMO! ONLINE
















