Kejadian banjir yang hampir menenggelamkan kediaman penduduk di Kampung Melayu Subang, Shah Alam baru-baru ini. FOTO MEDIA SOSIAL

‘Kami dah penat, 4 kali banjir dalam tempoh 9 hari’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Penduduk di Jalan Resak dan Merbau di Kampung Melayu Subang di sini merintih mereka kini kepenatan dan menanggung banyak kerugian apabila kediaman mereka dilanda banjir empat kali hanya dalam tempoh sembilan hari sejak awal bulan ini.

Banjir berulang setiap kali hujan lebat itu didakwa berpunca daripada pembangunan pesat di sekitar kawasan itu menyebabkan sungai berhampiran gagal menampung aliran air hujan.

Rata-rata mereka yang ditemui mengatakan: “Kami sudah penat. Bulan ini sahaja, Kampung Melayu Subang sudah empat kali dilanda banjir.”

Mereka turut mempersoalkan keberkesanan sistem saliran sedia ada selain mendakwa terdapat projek pembangunan yang menggunakan sistem saliran melalui kawasan berkenaan.

Tinjauan Kosmo! mendapati kebanyakan kediaman yang terjejas di Jalan Resak dan Jalan Merbau terletak dalam lingku­ngan 10 hingga 100 meter dari sungai berhampiran.

Malah, terdapat rumah yang masih digenangi air walaupun banjir di kawasan ber­kenaan dilaporkan semakin pulih.

Abdul, 69, berkata, kawasan kediamannya sudah beberapa kali dilanda banjir teruk, khususnya pada Februari, September dan November tahun ini

Katanya, rumahnya sering dinaiki air hingga ke paras dada orang dewasa kerana terletak di kawasan paling rendah.

“Kerugian memang banyak, tetapi perkara yang lebih memenatkan ialah kami terpaksa hadap keadaan sama setiap kali banjir berlaku. Tahun ini sahaja sudah enam kali banjir.

Syafiq resah setiap kali hujan kerana terpaksa menghabiskan masa seharian untuk membersihkan kediamannya yang dilanda banjir berulang sejak 2 November lalu di Jalan Resak, Kampung Melayu Subang.

“Kalau di luar rumah mungkin cepat dibersihkan, tetapi apabila air sudah masuk, kerja pembersihan mengambil masa yang lama. Kami tak tahu sampai bila ke­adaan ini akan berterusan,” katanya kepada Kosmo!.

Abdul yang sudah menetap di kawasan itu sejak 1998 mendakwa pembangunan pesat serta sistem saliran menjadi antara faktor menyebabkan air sungai naik dan melimpah dengan begitu cepat.

“Dahulu, kalau hujan separuh hari barulah air sungai naik, tetapi sekarang hujan tidak sampai sejam pun air sudah melimpah,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkaitan segera mencari penyelesaian bagi me­ngatasi masalah banjir berulang yang semakin membimbangkan, terutama menjelang musim monsun.

Syafiq Hasmiza, 31, pula berkata, kekerapan banjir sejak 2 November lalu menyebabkan dia sekeluarga semakin bimbang setiap kali hujan lebat melanda di situ.

“Air hanya ambil masa 10 minit untuk melimpah dan masuk ke rumah pukul 8 pagi. Ini kejadian keempat bulan ini dan kami perlu mengambil masa seharian untuk membersihkannya,” katanya.

Menurut Syafiq, dia mengalami kerugian RM30,000 apabila motosikal, kenderaan dan bara­ngan lain mengalami kerosakan.

Rosidah, 65, yang sudah 40 tahun tinggal di situ turut mendakwa banjir semakin membimbangkan sejak beberapa projek pembangunan dilaksanakan di sekitar kawasan berkenaan.

Sementara itu, pengguna Threads, @zagabdullah mempersoalkan apa tindakan pihak berkuasa menangani masalah banjir berulang itu.

“Tidak mungkin kerajaan ne­geri dan Jabatan Pengairan dan Saliran tidak nampak punca banjirnya? Tidak adakah tindakan segera jangka pendek yang boleh dilakukan?” soalnya.

@afzan_mahadi_suzen turut meluahkan rasa sedih melihat keadaan penduduk yang terpaksa berdepan kejadian sama berulang kali.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN