GOMBAK – Seorang lelaki warga asing yang menyerang anggota polis menggunakan parang di Desa Aman Puri, di sini, petang tadi, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas terkena tembakan.
Suspek sebelum itu bertindak agresif dengan menyerang anggota polis buat kali kedua menggunakan sebilah parang ketika usaha menangkapnya dilakukan berhampiran sebuah taman permainan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek berjaya dikesan di kawasan berkenaan antara pukul 7.30 hingga 8 malam selepas melarikan diri dari kediamannya.
Menurutnya, suspek dikesan tidak jauh dari kediaman yang menjadi lokasi serangan pertama sehingga menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan parah dengan pergelangan tangan kanannya terputus.
“Dalam usaha untuk membuat tangkapan terhadap suspek, suspek sekali lagi telah menyerang pihak polis dengan bersenjatakan sebilah parang.
“Dalam usaha untuk mempertahankan diri dan membuat tangkapan, pihak polis telah melepaskan beberapa das tembakan ke atas suspek,” katanya pada sidang akhbar di pekarangan Hospital Selayang, malam ini.
Shazeli berkata, suspek yang mengalami kecederaan akibat tembakan kemudian dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital tersebut.
Menurutnya, setakat semakan awal, suspek dipercayai seorang warga asing, namun identiti sebenar lelaki itu masih belum dapat dipastikan.
“Setakat maklumat yang kita terima, hanya seorang suspek terlibat dalam kejadian ini.
“Kita masih dalam proses siasatan untuk mendapatkan butiran diri suspek dan perkara-perkara lain yang berkaitan. Setakat ini siasatan mendapati suspek memang tinggal di kediaman itu,” katanya.
Dalam pada itu, Shazeli berkata, pihak polis masih belum dapat menentukan jumlah tembakan yang mengenai suspek serta bahagian badan yang mengalami kecederaan.
Katanya, pengesahan lanjut perlu dibuat menerusi proses bedah siasat memandangkan keadaan di lokasi kejadian ketika itu agak gelap.
“Kita perlu tunggu keputusan bedah siasat untuk mengetahui berapa das tembakan dan kecederaan yang dialami suspek. Keadaan ketika itu agak gelap dan pencahayaan tidak begitu terang,” katanya.
Sementara itu, Shazeli berkata, selain anggota polis yang cedera parah tangan kanan terputus, suspek turut menyerang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta petugas Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi kejadian.
Katanya, beberapa anggota bomba dan petugas KKM turut dilaporkan mengalami kecederaan, namun pihak polis masih menunggu laporan lanjut bagi mengesahkan keadaan mereka.– KOSMO! ONLINE
















