Azmi pada sidang akhbar semasa melakukan tinjauan ke pusat perjumlahan undi hari ini.

PRN Melaka: SPR sasar 70 peratus keluar mengundi esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JASIN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok meskipun berdepan kemungkinan cuaca hujan.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom berkata, sasaran itu diharap dapat dicapai menerusi penyertaan seramai mungkin pengundi dalam menentukan kepimpinan negeri berkenaan.

“Kita harap 70 peratus. Selalunya kita berharap, tambahan lagi ini satu PRN, bukan pilihan raya kecil (PRK).

“Jadi, kita harap rakyat berminat untuk datang dan mengundi. Harap-harap seramai mungkin. Selalunya 70 peratus adalah angka yang baik untuk kita cuba capai,” katanya.

Beliau berkata, pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan berikutan ramalan kemungkinan hujan pada hari pengundian.

Katanya, keadaan cuaca tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk pengundi tidak melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Cuaca esok ada ramalan bahawa mungkin hujan. Jadi, kalau boleh datang awal atau bawa payung.

“Datang mengundi walaupun hujan. Apa pun yang berlaku, datang mengundi, itu yang paling penting,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Azmi mengingatkan semua calon, parti politik serta penyokong supaya menghentikan sebarang aktiviti kempen selewat-lewatnya pukul 11.59 malam ini.

Katanya, larangan itu turut meliputi aktiviti berkempen menerusi platform media sosial termasuk Facebook.

“Ini hari terakhir untuk berkempen. Jadi, kita mahu mengingatkan semua calon, rakan-rakan dan penyokong mereka bahawa kempen berakhir malam ini, pukul 11.59 malam. Jangan berkempen lagi, termasuk secara dalam talian,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan PRN, beliau berkata, SPR menjangkakan keputusan penuh dapat diketahui sekitar tengah malam esok, bergantung kepada kelancaran proses penghantaran peti undi ke pusat penjumlahan rasmi.

Katanya, faktor cuaca termasuk kemungkinan hujan atau banjir juga boleh mempengaruhi tempoh pengumuman keputusan.

Sebanyak 240 pusat mengundi membabitkan 1,213 saluran akan dibuka pada PRN Melaka kali ini bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Seramai 79 calon disahkan bertanding bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daripada jumlah itu, Pakatan Harapan (PH) bertanding di 24 kerusi diikuti Barisan Nasional (BN) (23), Parti Bersama Malaysia (Bersama) (16), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (7), Perikatan Nasional (PN) (5), Bebas (3) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (1). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN