Pengalaman ‘Bah Kuning’ sepatutnya menjadi pengajaran bahawa persediaan menghadapi bah tidak boleh hanya bermula apabila air masuk halaman rumah atau jalan raya.

Jadikan peristiwa ‘bah kuning’ sebagai pengajaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HUJAN di beberapa kawasan di Pantai Timur ketika ini mengingatkan penulis mengenai peristiwa besar pada 2014 iaitu ‘Bah Kuning’ yang menyaksikan ratusan ribu mangsa terjejas sehingga meninggalkan kesan mendalam buat mangsa sehingga hari ini.

Tidak terkecuali keluarga penulis di Kuala Krai, Kelantan apabila hanya bangunan sekolah empat tingkat menjadi ‘kubu’ perlindungan mereka.

Dari banglo sampai rumah papan, semuanya tenggelam.Hampir kesemua barangan tidak dapat diselamatkan.

Berdasarkan situasi cuaca ketika ini, musim tengkujuh bakal menguji ketahanan penduduk Pantai Timur apabila hujan berterusan mula melanda beberapa kawasan, sekali gus menjadi peringatan bahawa ancaman banjir tidak boleh dipandang ringan.

Lebih membimbangkan, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 bermula pada 27 Oktober lalu dan dijangka berterusan hingga Mac 2027.

Menurut Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip, tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku sepanjang fasa awal MTL di antara November dan Januari depan.

Keadaan itu berpotensi menyebabkan bah khususnya di kawasan berhampiran sungai dan rendah, manakala tiupan angin timur laut yang berterusan dan kencang turut meningkatkan risiko laut bergelora serta kenaikan paras air laut di Laut China Selatan.

Persoalannya, sejauh manakah penduduk di kawasan berisiko membuat persediaan menghadapi banjir besar?

Pengalaman ‘Bah Kuning’ sepatutnya menjadi pengajaran bahawa persediaan menghadapi bah tidak boleh hanya bermula apabila air masuk halaman rumah atau jalan raya. Sebaliknya, ia perlu dilakukan lebih awal termasuk mengenal pasti laluan pemindahan, lokasi pusat pemindahan sementara (PPS), menyediakan beg kecemasan serta memastikan dokumen penting, ubat-ubatan dan keperluan asas disimpan dalam bekas kalis air.

Perkara itu turut ditekankan Pengarah Pusat Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Fadhil Md Din yang mengingatkan masyarakat supaya mengubah persepsi bahawa bah bukan fenomena biasa yang berlaku setiap tahun.

Katanya, perubahan corak cuaca ketika ini menyebabkan hujan sangat lebat boleh berlaku dalam masa singkat sehingga mencetuskan banjir kilat dan arus deras, termasuk di kawasan jarang terjejas.

Beliau turut menjelaskan tahap sesuatu bencana bukan hanya bergantung kepada jumlah hujan, sebaliknya dipengaruhi keupayaan sistem saliran, perubahan guna tanah serta tahap kesiapsiagaan masyarakat dan agensi berkaitan.

Untuk itu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut melaksanakan pemantauan ramalan banjir di 36 lembangan sungai dengan sokongan 2,237 stesen telemetri, 614 siren amaran banjir dan 197 kamera pemantauan di seluruh negara.

Bagi penulis, pengalaman menyaksikan rumah keluarga tenggelam bukan sesuatu yang mudah dilupakan.

Justeru, menjelang musim tengkujuh kali ini, harapan penulis bukan sekadar hujan berhenti dan air sungai kembali surut, tetapi supaya tiada lagi keluarga terpaksa melalui pengalaman kehilangan tempat tinggal, harta benda dan kehidupan yang dibina bertahun-tahun dalam sekelip mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN