POLIS menangkap pempengaruh Nouman Hassan berhubung insiden tersebut. – TikTok@Nouman_hassan47

Aksi bersama harimau betina bertukar tragedi, remaja maut diterkam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISLAMABAD – Satu aksi berbahaya untuk kandungan media sosial melibatkan seekor harimau betina bertukar tragedi ngeri apabila seorang remaja maut diterkam.

Kejadian berlaku di sebuah ladang persendirian di Kahna, sebuah bandar di Lahore, Pakistan demikian menurut laporan Manchester Evening News.

Laporan menyebut bahawa haiwan pemangsa itu dikeluarkan dari kandangnya atas permintaan seorang pencipta kandungan video TikTok, Nouman Hassan, baru-baru ini.

Namun, harimau betina itu menerkam Talha, 19, yang merupakan pekerja ladang berkenaan. Mangsa dikejarkan ke hospital selepas serangan itu tetapi gagal diselamatkan.

Polis kemudian menahan pemilik ladang yang dikenali sebagai Fayyaz serta Hassan, lapor manchester Evening News.

Harimau betina itu pula ditempatkan di kandang pembiakan di ladang berkenaan.

Menurut polis, pempengaruh itu pada mulanya mendakwa bahawa Talha diserang oleh seekor anjing, namun siasatan lanjut membongkar punca sebenar kematian mangsa.

“Minat terhadap TikTok tidak boleh mengatasi nilai nyawa manusia. Tiada sesiapa pun dibenarkan membahayakan nyawa manusia atas nama hobi atau hiburan.

“Percubaan untuk menyembunyikan fakta dan setiap aspek kecuaian akan disiasat,” kata Polis Lahore.

Polis sedang menyiasat sama ada ladang itu mempunyai permit untuk memelihara harimau dan sama ada langkah keselamatan telah dipatuhi dengan betul.

Hassan terkenal kerana memuat naik video berbahaya bersama harimau. 

Dalam salah satu klip yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, dia dilihat cuba mencium seekor harimau yang dirantai.

Dalam klip video lain, Hasan dilihat membelai seekor harimau bintang yang secara tiba-tiba menerkam dan mencakarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN