SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan didakwa secara rasmi menarik balik kandungan surat terdahulu yang dihantar kepada Majlis Raja-Raja berhubung institusi diraja negeri itu, sekali gus menegaskan komitmen untuk menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta adat dan tradisi.
Keputusan itu dimaklumkan menerusi surat dua muka surat bertarikh 10 November lalu yang dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ismail Lasim.
Surat berkenaan menyatakan keputusan menarik balik surat bertarikh 17 September 2026 itu dibuat secara sebulat suara bersama kesemua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Menurut surat itu, keputusan berkenaan turut mengambil kira kenyataan media Majlis Raja-Raja pada 14 Oktober 2026 serta perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun 2026.
Perintah mahkamah berkenaan mengekalkan status quo kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Keputusan ini dibuat bagi menjunjung keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, memelihara tertib pemerintahan Raja Berperlembagaan serta memastikan kesinambungan pentadbiran negeri berjalan dengan aman dan teratur,” menurut kandungan surat itu.
Terdahulu, tular surat penarikan balik kandungan surat persembahan maklum kepada Majlis Raja-Raja Melayu bertarikh 17 September 2026 dan pendirian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
Pada 17 September lalu, Ismail mengesahkan Exco negeri bersetuju dengan pemasyhuran bertarikh 17 April yang ditandatangani seorang Undang dan tiga lagi pembesar adat yang kedudukan mereka dipertikaikan, bagi menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Beliau kemudian menghantar surat rasmi kepada Majlis Raja-Raja dengan mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu.
Dalam surat terbaharu itu, Ismail bersama 10 bekas Exco negeri turut menegaskan komitmen untuk sentiasa menjunjung adat serta menghormati kedudukan dan kewibawaan institusi diraja dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan.
Mereka turut mengambil maklum seruan Majlis Raja-Raja supaya segala perbezaan diselesaikan menerusi saluran yang sah, berwibawa dan diyakini, secara berhemah serta berlandaskan adat.
“Kami berpandangan usaha ke arah penyelesaian perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab bagi mengekalkan keharmonian dan kestabilan Negeri Sembilan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat,” menurut surat itu.
Surat berkenaan ditandatangani Ismail dan turut ditandatangani bersama oleh kesemua 10 bekas Exco negeri iaitu Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.- KOSMO! ONLINE
















