Mohamed Khaled (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada murid kurang kemampuan pada Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Madani - Malaysia Defence Intelligence Organisation (MDIO) Di Sekolah Kebangsaan Panchor hari ini. Foto oleh MASTURAH SURADI/KOSMO!

Mindef terima empat lagi pesawat tempur ringan FA-50M April 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Korea Aerospace Industries (KAI) bakal menyerahkan empat lagi pesawat tempur ringan FA-50M kepada Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesemua aset tersebut akan diterima sebelum Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2027 pada April tahun hadapan.

Katanya, ketibaan empat pesawat FA-50M itu menjadikan jumlah keseluruhan pesawat tempur ringan yang diterima pihaknya adalah sebanyak enam buah.

“Mindef terima dua (pesawat) pada akhir Oktober lalu. Sebelum LIMA kita akan ada (terima) empat (pesawat). Selepas itu kita akan terima secara berfasa keseluruhan sebanyak 18 pesawat pada Mac 2028.

“Kesemua 18 pesawat ini akan berpangkalan di Kuantan, Pahang sebab pesawat Hawk masih ada lagi. Apabila pesawat Hawk dikomersialkan, mereka akan fikirkanlah (langkah seterusnya) meletakkan pesawat tempur ringan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Peluncuran Sekolah Angkat Madani – Malaysia Defence Intelligence Organisation (MDIO) Di Sekolah Kebangsaan Panchor, di sini hari ini.

Pada 30 Oktober, Mohamed Khaled memaklumkan, Mindef menerima dua pesawat tempur ringan FA-50M pertama yang diperoleh TUDM, yang menandakan pencapaian penting dalam usaha memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.

Kedua-dua pesawat yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) itu tiba di Pangkalan Udara TUDM Labuan selepas diterbangkan dari Sacheon, Korea Selatan.

Mohamed Khaled dilaporkan berkata majlis penyerahan rasmi pesawat berkenaan dijadual berlangsung pada pertengahan November ini di Pangkalan Udara TUDM Kuantan, Pahang.

Sebanyak 18 pesawat FA-50M diperoleh di bawah program Pesawat Latihan Tempur dan Pesawat Tempur Ringan (FLIT-LCA), susulan perancangan TUDM untuk menamatkan operasi pesawat Hawk pada 2028.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN