PETALING JAYA – Ibu bapa meluahkan kebimbangan apabila anak-anak mereka yang bakal menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (UKKM) ditempatkan di pusat ujian terlalu jauh dari kediaman masing-masing.
Ramai ibu bapa mengakui situasi itu bukan sahaja membebankan dari segi perjalanan, malah menuntut kos tambahan untuk pengangkutan dan penginapan, khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah.
Mengambil perhatian terhadap aduan tersebut, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau sudah meminta pihak pengurusan Mara memperhalusi dan menangani isu berkenaan dengan segera.
Katanya, beliau tidak mahu penempatan pusat ujian yang jauh selepas calon menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) menjejaskan hak serta kebajikan murid daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah.
“Saya banyak terima keluhan ibubapa yang terpaksa menjalani ujian UKKM di lokasi yang amat jauh. Saya sudah minta pengurusan Mara untuk memperhalusi dan manangani isu ini segera.
“Saya tidak mahu hanya kerana terpaksa menjalani ujian UKKM selepas PKSK di lokasi yang terlalu jauh daripada alamat sebenar menafikan hak dan kebajikan golongan miskin dan berpendapatan rendah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut meminta ibu bapa yang berdepan masalah berkenaan berkongsi aduan di ruangan komen bagi membolehkan pegawai Mara menghubungi mereka dengan segera.
Malah, Asyraf Wajdi meminta ibu bapa memaklumkan semula kepadanya sekiranya masih belum dihubungi pegawai Mara sehingga Isnin depan.
Antara aduan yang mendapat perhatian ialah seorang ibu dari Tawau, Sabah yang mendakwa anaknya ditempatkan di pusat ujian di Pahang.
“Sayalah tu empunya post (hantaran dan keluhan. Anak saya di Tawau, Sabah bakal menduduki peperiksaan di Pahang. Saya dah email butiran semua, cuma saya tak dapat panggilan. Line (capaian sambungan) sentiasa sibuk Isnin saya cuba lagi,” kata Cya Asieyah.
Seorang lagi ibu dari Kedah pula memaklumkan anaknya perlu menduduki ujian di MRSM Kuantan, Pahang, berikutan alamat ketika suaminya bertugas sebelum ini masih menggunakan alamat di negeri berkenaan.
“Jauh dan kos terlalu tinggi hanya untuk menduduki ujian. Kemungkinan latar belakang semasa suami bertugas beralamat di Kuantan. Sekarang saya dah kembali ke Kedah,” kata Nurulfreeza Fareeza.
Turut berkongsi pengalaman, seorang ibu dari Langkawi, Kedah yang memaklumkan anaknya ditempatkan di pusat ujian di Pengkalan Chepa, Kelantan sehingga memerlukan perjalanan merentasi tiga negeri.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Nor Saleha Aminullah berkata, penempatan pusat ujian berhampiran kediaman perlu dipertimbangkan kerana bukan semua keluarga mempunyai kemampuan kewangan untuk menanggung kos perjalanan dan penginapan.
Katanya, murid daripada keluarga kurang berkemampuan mungkin berdepan kesukaran untuk hadir ke pusat ujian sekiranya lokasi yang ditetapkan terlalu jauh.
“Apatah lagi jika jauh, perlu sewa tempat penginapan, sedangkan duit yang ada cukup untuk makan minum seharian. Sebolehnya biarlah yang berdekatan agar murid-murid tersebut berpeluang untuk hadir juga ke pusat temu duga,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















