Adly ketika ditemui selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal petang ini.

PRN Melaka: Pengundi muda mungkin ubah ramalan awal penganalisis – Adly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Kehadiran pengundi muda yang semakin memberangsangkan berpotensi mengubah ramalan beberapa penganalisis politik terhadap keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Adly Zahari berkata, pemerhatiannya sepanjang kempen mendapati penerimaan golongan muda terhadap parti itu menunjukkan perkembangan positif berbanding pilihan raya sebelum ini.

Menurutnya, situasi sama turut dapat dilihat pada hari pengundian apabila golongan muda dilihat keluar mengundi dalam jumlah yang agak tinggi, sekali gus memberi petunjuk berbeza terhadap corak sokongan pengundi.

“Ya, kalau kita lihat dalam pilihan raya yang lalu. Kadang-kadang lawan kita pukul 3 dia dah isytiharkan kemenangan dan sebagainya. Tapi kalau kita lihat hari ini peratus anak muda terutamanya keluar mengundi agak tinggi juga.

“Jadi akhirnya kita akan tentukan keputusan ini berdasarkan selepas kita menutup pusat-pusat daerah mengundi kita. Jadi saya harap peratus yang kita boleh capai tu agak tinggi dan bilangan anak muda yang keluar mengundi untuk buat keputusan itu mungkin boleh memberikan sedikit kelebihan kepada Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal di sini kira-kira pukul 4.15 petang tadi.

Adly berkata, keyakinan itu turut berdasarkan maklum balas positif yang diterima ketika mengadakan kunjungan ke 11 sekolah sepanjang tempoh kempen.

“Ya, kalau kita lihat ada pertemuan saya pergi ke 11 sekolah, penerimaan anak muda kepada lawatan-lawatan kita adalah agak baik dan saya sendiri pun kalau lihat kebanyakan 70 peratus di kalangan anak muda berbeza dengan tahun-tahun yang lalu.

“Jadi kita harap sokongan anak muda itu boleh kita dapat kepada Pakatan Harapan dan ini mungkin sedikit ubah analisa yang dibuat oleh beberapa penganalisis sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Adly yakin PH mampu mempertahankan tiga kerusi DUN yang menjadi kubu kuat parti itu iaitu Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

Katanya, peratusan keluar mengundi yang lebih rendah di sesetengah kawasan tidak semestinya mencerminkan kemerosotan sokongan terhadap PH.

“Saya tidak pasti secara keseluruhannya, tetapi menurut SPR memang terdapat kekurangan (peratusan keluar mengundi) di kawasan berkenaan.

“Saya fikir sebahagiannya mungkin disebabkan masyarakat yang bekerja dalam bidang perniagaan dan sebagainya, jadi mereka mungkin mengambil masa untuk keluar mengundi pada sebelah petang.

“Bagaimanapun, saya yakin DUN-DUN berkenaan merupakan kawasan utama kita dan sama ada peratusan keluar mengundi tinggi atau sedikit rendah, saya yakin PH mampu mempertahankan kerusi-kerusi tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN