Fahmi

Jentera kurang bersedia punca prestasi PH merudum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

 

KUALA LUMPUR – Tahap kesiapsiagaan jentera dan calon dalam mendepani kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 antara perkara yang akan diteliti menerusi proses bedah siasat parti.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kelemahan kesiapsiagaan jentera di lapangan, khususnya di kawasan luar bandar, antara aspek yang perlu diberi perhatian.

Menurut beliau, wujud pandangan awal bahawa jentera parti di kawasan bandar lazimnya lebih kukuh dan bersedia, berbanding di luar bandar.

“Ini satu pengalaman. Kita mengambil iktibar dan bermuhasabah atas apa yang berlaku. Pihak parti akan melakukan post-mortem untuk mengenal pasti aspek yang perlu kita rombak.

“Ada yang memberi pandangan awal mengenai tahap kesediaan jentera di lapangan, terutama di kawasan luar bandar. Bagi PKR, di kawasan bandar, biasanya jentera lebih kukuh dan bersedia.

“Namun bagi kerusi PKR, mungkin ada isu dari segi jentera, tahap kesiapsiagaan serta kesediaan calon untuk mendepani dan melaksanakan kempen,” katanya pada sidang media Projek Rintis Sistem Keselamatan Warga Emas di Razak Mansion, di sini, hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, beberapa perkara lain termasuk pola pengundian golongan muda dan peratusan pengundi keluar mengundi yang rendah, turut akan diteliti bagi mengenal pasti faktor yang mempengaruhi keputusan pilihan raya itu.

Katanya, mesyuarat Majlis Setiausaha PH dijangka diadakan minggu depan bagi membincangkan dapatan awal bedah siasat terbabit.

Beliau berkata, kejayaan DAP yang juga komponen PH, mengekalkan semua kerusi disandang adalah perkembangan positif, sekali gus menjadi antara perkara yang turut diberi perhatian.

Semalam, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga, manakala PH meraih empat kerusi.

Sementara itu, mengulas persediaan PH menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, beliau berkata, gabungan itu perlu mengambil iktibar daripada keputusan pilihan raya berkenaan.

“Kita perlu meneliti aspek yang mungkin perlu kita ubah suai, rombak, tambah baik dan perbetulkan. Kita akan bermesyuarat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN