DUNGUN – Dua rakan sebaya didenda sebanyak RM6,800 oleh Mahkamah Majistret Dungun, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghapuskan barang kemas milik seorang warga emas yang menjadi mangsa penipuan dalam talian, awal November lalu.
Hukuman denda tersebut diperintahkan Majistret Ng Yan Ni terhadap kedua-dua tertuduh, Muhammad Faris Shafiq Nornazli dan Nabil Anaqi Mohd. Ayob masing-masing berusia 29 tahun membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Faris Shafiq didakwa dengan sengaja menolong menghapuskan harta curi, iaitu seutas rantai emas milik seorang warga emas berusia 62 tahun.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1.15 tengah hari di sebuah rumah di Felda Kerteh 3, di sini pada 5 November lalu.
Sementara itu, Nabil Anaqi didakwa telah bersubahat dengan Muhammad Faris Shafiq dengan menyerahkan harta curi seutas rantai emas itu untuk dipajak pada hari, masa dan lokasi yang sama.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum hingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE
















