PETALING JAYA – “Kalau tidak menjadi dalam tempoh dua tahun ini, saya akan kembali fokus dalam bidang guaman.”
Demikian pendirian pelakon baharu, Sharmaine Alexander, 26, yang sanggup mengetepikan kerjaya sebagai peguam buat sementara waktu demi mengejar impian bergelar anak seni.
Bukan keputusan yang dibuat secara terburu-buru, sebaliknya Sharmaine mahu memanfaatkan peluang diberikan sebaik mungkin untuk membina nama dalam industri hiburan sepanjang tempoh dua tahun akan datang.
Sharmaine atau nama sebenarnya, Sharmaine Ilenna Rudy Alexander berkata, dia kini terikat dengan kontrak selama dua tahun bersama Rocketfuel Entertainment dan mahu memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang tempoh tersebut.
“Saya mempunyai kontrak bersama Rocketfuel Entertainment selama dua tahun. Jadi, dalam tempoh inilah saya akan berusaha sedaya-upaya untuk menaikkan nama.
“Sepanjang dua tahun ini, saya mengorbankan peluang untuk meneruskan tahun ketiga (junior year) dan gelaran sebagai peguam muda demi mengejar sesuatu yang bukan semua orang berpeluang memilikinya.
“Saya rasa tidak salah untuk kita mencuba sedaya-upaya terhadap peluang yang diberikan,” katanya.
Mengulas mengenai penerimaan keluarga terhadap keputusannya itu, bekas peserta Dewi Remaja 2025 berkenaan bersyukur apabila mendapat sokongan penuh insan tersayang meskipun sudah menghabiskan masa dan tenaga untuk mendalami bidang perundangan.
Menurutnya, keluarga tidak pernah menghalang hasratnya, malah menggalakkan dia mengejar perkara yang mampu memberikan kebahagiaan kepada dirinya.
“Keluarga saya okey sahaja. Mereka minta saya mengejar apa yang membuatkan saya gembira. Mereka sangat menyokong dan mengambil berat tentang saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














