Lagi kolam takungan dibina tahun depan, elak KL banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bagi memperkukuh keupayaan mitigasi banjir di ibu negara, enam lagi kemudahan Takungan Air di Tapak (OSD) akan dibina tahun depan.

Enam lokasi yang dirancang untuk pembangunan pada 2027 adalah di Masjid Ubudiah, Jalan Kiara 8, Jalan Kiara 3, Jalan Kelapa Muda, Jalan Jinjang Utara Fasa 2 dan Padang Bola Brickfields.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, kemudahan OSD berfungsi menakung air hujan buat sementara waktu sebelum dilepaskan secara terkawal ke dalam sistem perparitan bagi mengurangkan risiko banjir kilat.

“Sembilan kemudahan OSD sudah siap dibina, termasuk di kawasan padang awam. Bahagian bawah tanahnya digunakan sebagai kolam takungan manakala permukaannya kekal boleh digunakan untuk aktiviti rekreasi.

“Enam lagi OSD sedang dalam pembinaan termasuk satu di Padang Merbok, manakala enam lagi dirancang untuk dilaksanakan pada 2027,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (Wilayah Persekutuan), di sini, hari ini.

Sembilan kemudahan siap dibina terletak di Universiti Malaya, Segambut Bahagia, Taman United, Bukit Tunku, Tayton View, SPPK Segambut, Taman Yarl, Taman Sentosa dan Taman Botani di sini.

Enam kemudahan sedang dalam pembinaan pula terletak di Padang Merbok, Kampung Pasir, Jalan Jinjang Aman 2, Jalan Ledang, Kampung Periuk dan Menara PJD.

Fadlun berkata, DBKL turut memantau lebih 65 kemudahan OSD yang dibangunkan oleh pemaju swasta.

“Kita juga sudah membina tembok penahan banjir sepanjang 1.3 kilometer dan kerja-kerja ini akan diteruskan pada 2027 bagi membolehkan sungai menampung jumlah air yang lebih besar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN