SUNGAI BULOH – Sebanyak 1,500 keluarga terjejas banjir di Sungai Buloh di sini menerima barangan keperluan asas dan perkakas rumah bernilai hampir RM1 juta hari ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, bantuan dihulurkan bagi menyokong usaha pemulihan pascabanjir menerusi pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp).
“Ini merupakan bantuan yang sangat penting sebab ia adalah keperluan asas seperti ketuhar gelombang mikro, dapur gas, seterika, hos dan pengawal atur gas, cerek elektrik, periuk nasi, pengisar dan tong gas,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, demikian ketika ditemui pemberita sebelum menyertai konvoi penghantaran Sumbangan Santuni Kasih MADANI di beberapa rumah mangsa banjir yang turut dihadiri Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shamir Aziz.
Ramanan berkata, bantuan Program Santuni Kasih MADANI itu melibatkan mangsa dari beberapa kawasan iaitu Kampung Melayu Subang, Kampung Kubu Gajah, Kampung Paya Jaras Hilir, Kampung Merbau Sempak, Kampung Sungai Pelong, Kampung Paya Jaras Tengah dan Kampung Paya Jaras Dalam.
Selain itu, beliau berkata, bantuan RM1,250 akan diberikan kepada keluarga mangsa banjir yang tidak layak menerima bantuan tunai tambahan khas sekali beri RM2,500 kepada setiap Ketua Isi Rumah di Selangor yang dibayar bermula Selasa lepas.
“Yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini adalah untuk yang telah mendaftar, dia dapat RM2,500. Mereka yang tidak mendaftar jangan risau, mereka akan dapat separuh iaitu RM1,250,” katanya sambil menambah Kerajaan Negeri juga memberikan bantuan RM500 kepada mereka yang mendaftar semasa berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
Ditanya mengenai langkah penyelesaian banjir di kawasan berkenaaan, Ramanan berkata, lebih banyak kolam tadahan akan dibina dan kerja mendalamkam sungai sementara menunggu projek rancangan tebatan banjir selesai.
Ramanan berkata, kebanyakan banjir di kawasan terjejas sudah surut, namun musibah itu dikhuatiri berulang sekiranya berlaku hujan lebat.
Beliau berkata, pihak Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh dengan kerjasama pelbagai agensi sentiasa bersiap siaga menyampaikan bantuan kepada mangsa sekiranya berlaku sebarang bencana banjir. – BERNAMA















