PETALING JAYA – Dua calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem mendahului pengiraan undi tidak rasmi di kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 setakat 7.25 malam ini.
Di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N02 Tanjung Bidara, Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka dan Pengerusi BN Melaka berada selesa di hadapan dengan memperoleh 2,510 undi, meninggalkan pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH), Mohd Yunazri Mustamiri yang meraih 335 undi.
Pertembungan satu lawan satu di Tanjung Bidara itu melibatkan seramai 15,003 pengundi berdaftar.
Pada PRN 2021 lalu, Ab Rauf memenangi kerusi tersebut dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 364 undi.
Sementara itu, di DUN N21 Duyong, penyandang kerusi berkenaan, Mohd Noor Helmy turut mendahului kiraan undi awal dengan memperoleh 2,492 undi berbanding calon PH, Poo Long Suan yang mendapat 1,139 undi.
Kerusi DUN Duyong merekodkan seramai 26,528 pengundi berdaftar pada pilihan raya kali ini.
Dalam perkembangan lain berdasarkan paparan kiraan semasa tidak rasmi, calon BN turut mendahului di beberapa kerusi tumpuan lain antaranya N09 Durian Tunggal, N11 Sungai Udang, N14 Klebang, N18 Ayer Molek, N26 Serkam, N27 Merlimau, N01 Kuala Linggi serta N03 Ayer Limau.
Antara DUN lain yang menunjukkan calon BN mendahului kiraan undi ialah N04 Lendu, N05 Taboh Naning, N06 Rembia dan N07 Gadek. – KOSMO! ONLINE
















