JAKARTA – Seorang lelaki dikenali dengan singkatan S menetak bekas isterinya, SF, 19, berulang kali menggunakan sabit sehingga mangsa berlumuran darah dan tidak sedarkan diri kerana wanita itu enggan berbaik semula, lapor laman beritajatim hari ini.
Selepas melakukan perbuatan itu, suspek melarikan diri dan bersembunyi sebelum akhirnya ditangkap polis.
Ketua polis tempatan, Inspektor Satu Widy Purwa Apriyantoro berkata, kejadian berlaku di rumah mangsa di Dusun Braholo, wilayah Jawa Timur, sekitar pukul 9.30 pagi semalam (waktu tempatan).
“Kejadian bermula apabila S pergi ke rumah mangsa, mendakwa mahu bertanyakan tentang anaknya. Bagaimanapun, kunjungan itu berakhir dengan pertengkaran selepas suspek meminta SF untuk menjalin semula hubungan mereka,” katanya.
Mangsa menolak ajakan untuk berbaik semula. Penolakan ini mencetuskan kemarahan suspek. S kemudian mengeluarkan sabit dan terus menyerang mangsa.
“Suspek menetak mangsa berulang kali. Senjata tajam itu mengenai SF di bahagian belakang kiri, pinggul kiri dan kaki kanan,” tambah Widy.
Akibatnya, wanita berusia 19 tahun itu mengalami cedera parah dan tidak sedarkan diri. Dia dibawa ke sebuah hospital tempatan untuk mendapatkan rawatan perubatan.
“Pelaku tidak menyerah diri. Sebaliknya, S melarikan diri dan bersembunyi untuk mengelak daripada ditangkap polis,” katanya.
Polis bertindak pantas. Pasukan gabungan polis melancarkan siasatan dan akhirnya berjaya mengesan pelaku.
S ditangkap dalam tempoh kurang 12 jam selepas insiden berlaku.
Dia kini ditahan di ibu pejabat polis Probolinggo bersama sebilah sabit yang disyaki digunakan untuk menyerang mangsa. – AGENSI .
















