KOTA TINGGI – Pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bernilai RM900 juta di Sedili di sini dijangka dimulakan tahun depan selepas kontraktor bagi projek tersebut selesai dipilih.
Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, projek yang dirancang sejak beliau menerajui Kementerian Pendidikan Tinggi itu kini hanya menunggu proses penyerahan pelan sebelum kerja-kerja tanah dapat dimulakan.
Menurutnya, pembinaan hospital pengajar itu kebiasaannya mengambil masa antara tiga hingga empat tahun untuk disiapkan sepenuhnya.
”Insya-Allah saya difahamkan bahawa kontraktor telah pun dipilih. Dengan demikian, saya percaya tahun depan projek itu sudah boleh dimulakan dengan kerja-kerja tanah.
”Saya akan cuba minta supaya ia disegerakan dan kita sama-sama doakan agar ia dapat dibina serta siap dalam tempoh yang ditetapkan,”katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Madani – Malaysia Defence Intelligence Organisation (MDIO) Di Sekolah Kebangsaan Panchor hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pemilihan Sedili yang terletak berhampiran pantai Jason Bay dan Desaru itu bertujuan mengimbangi taburan hospital universiti di negara ini yang sebelum ini banyak tertumpu di Lembah Klang dan pantai timur.
Katanya, negeri Johor masih belum mempunyai hospital pengajar universiti berbanding negeri lain seperti Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak. – KOSMO! ONLINE
















