ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat Renggam melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa dalam kemalangan dua kenderaan di kilometer 67, Jalan Kluang-Kota Tinggi berhampiran Ladang Sindora di Kluang, semalam.

Pesara LHDN, anak 6 tahun maut nahas dua kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLUANG – Seorang lelaki warga emas yang juga pesara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta anak perempuannya maut selepas terlibat dalam nahas dua kenderaan di kilometer 67, Jalan Kluang- Kota Tinggi berhampiran Ladang Sindora di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pukul 3.38 petang itu melibatkan Musa Md Jais,72, memandu kereta Proton Ertiga bersama isteri,54, dan dua anaknya yang berusia 28 serta enam tahun yang datang dari arah Kluang ke Kota Tinggi.

Katanya, dalam masa sama, sebuah kereta Honda Civic dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun bersama kakak dan abang iparnya masing-masing berusia 34 tahun serta seorang kanak-kanak berusia tiga tahun datang dari arah bertentangan.

Jelas, siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas kereta Honda Civic dikatakan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan sehingga menyebabkan berlaku pertembungan dengan kereta Proton Ertiga dipandu warga emas itu.

“Akibat daripada kejadian itu, warga emas yang memandu kereta Proton Ertiga mengalami kecederaan parah pada bahagian badan, muka dan kedua belah kaki sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Anak perempuannya, Nur Alesya Musa , 6, mengalami kecederaan pada bahagian dalaman perut dan disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Bahrin, isteri serta seorang lagi anak mangsa masing-masing mengalami kecederaan di bahagian kepala, kaki dan tangan manakala pemandu serta semua penumpang kereta Honda Civic mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan mendapat rawatan di hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN