Vokalis kumpulan Versi, Awang meninggal dunia di kediamannya di Taman Sri Segambut, Kuala Lumpur pagi tadi.

Penyanyi ‘Bila Kekasih Mula Merajuk’ meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan Versi, Awang atau nama sebenarnya Che Saimi Che Wok meninggal dunia di kediamannya di Taman Sri Segambut, di sini pagi tadi.

Penyanyi berusia 59 tahun yang popular dengan lagu Bila Kekasih Mula Merajuk itu menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 11.45 pagi.

Berita pemergian Awang disahkan oleh isterinya, Yusnani Kiman.

Sebelum ‘pergi’, Allahyarham Awang yang bertugas sebagai bilal di Masjid Al-Qurtubi, Taman Sri Segambut sempat menunaikan tanggungjawab terakhirnya apabila melaungkan azan Maghrib dan Isyak semalam.

“Pagi tadi arwah beritahu dia demam dan pernafasannya menjadi pendek. Saya mengajaknya ke hospital, namun dia menolak kerana bimbang ditahan di wad selain takut dijangkiti influenza.

“Tidak lama selepas itu, dia muntah sedikit sebelum pengsan,” katanya yang memetik laporan Harian Metro.

Wanita itu berkata, Awang mengalami batuk berpanjangan sejak lebih sebulan lalu ketika jerebu, namun keadaannya menjadi bertambah teruk dan berkahak sejak dua tiga hari lalu.

Allahyarham Awang turut mempunyai sejarah masalah lemah jantung selepas mengalami serangan jantung tahun lalu dan perlu mengawal pengambilan air bagi mengelakkan sesak nafas.

Yusnani berkata, arwah suaminya sudah tidak aktif menyanyi dan kali terakhir membuat persembahan di Ayer Keroh, Melaka pada 26 September lalu.

“Arwah banyak menumpukan perhatian terhadap tugasnya sebagai bilal di Masjid Al-Qurtubi. Semalam pun dia masih sempat melaungkan azan Maghrib dan Isyak,” katanya.

Allahyarham Awang meninggalkan seorang balu, dua anak serta dua cucu. Jenazah lelaki itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Segambut selepas Asar hari ini.

Awang menganggotai kumpulan Versi yang popular sekitar era 1990-an menerusi lagu-lagu balada dan slow rock. Lagu-lagu mereka menjadi siulan peminat rock kapak tanah air.

Selain Bila Kekasih Mula Merajuk ciptaan LY dan lirik oleh Baiduri, Versi juga popular dengan beberapa lagu lain antaranya Buktikan Cintamu Padaku dan Ini Cintaku Yang Pertama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN