KEE KAN (dua dari kanan) pada majlis pemeteraian kerjasama hari ini.

KK Mart meterai perjanjian pengunderaitan IPO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – KK Mart Retail Berhad (KK Mart), pemain utama kedai serbaneka di Malaysia memeterai perjanjian pengunderaitan runcit dengan Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) bagi tawaran awam permulaan (IPO) untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Sehingga 28 Februari 2026, KK Mart mengendalikan 996 cawangan di seluruh Malaysia menerusi rangkaian kedai serbaneka 24 jam, KK Super Mart.

IPO itu melibatkan sehingga 840 juta saham biasa, merangkumi tawaran jualan sehingga 630 juta saham sedia ada dan terbitan awam sebanyak 210 juta saham baharu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 735 juta saham diperuntukkan bagi tawaran institusi, manakala 105 juta saham baharu ditawarkan kepada pelabur runcit.

Bagi tawaran runcit, sebanyak 70 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia menerusi proses undian, termasuk 35 juta saham yang dikhaskan untuk pelabur Bumiputera.

Baki 35 juta saham pula diperuntukkan kepada pengarah, pekerja serta individu yang menyumbang kepada kejayaan Kumpulan.

Pengarah Urusan Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Chai Kee Kan berkata, pemeteraian perjanjian itu merupakan pencapaian penting dalam perjalanan syarikat untuk memasuki fasa pertumbuhan baharu menerusi pasaran modal.

Katanya, penyenaraian membolehkan Kumpulan mempercepatkan rancangan pengembangan, memperkukuh rangkaian kedai di seluruh negara serta mendekatkan perkhidmatan KK Mart kepada lebih ramai pelanggan.

“Sepanjang lebih dua dekad, KK Mart berkembang bersama rakyat Malaysia dengan menyediakan barangan keperluan harian yang mudah diperoleh, selesa dan pada harga berpatutan kepada komuniti setempat.

“Melalui operasi 24 jam dan rangkaian kedai yang terletak di lokasi strategik, kami menjadi sebahagian daripada rutin harian masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN