Tangkap layar memaparkan sebuah kereta yang didakwa mencurigakan dalam kejadian di laluan Bandar Tenggara, Kota Tinggi, Johor kelmarin.

‘Tiba-tiba nak suruh berhenti dekat jalan gelap’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila sebuah kereta didakwa bertindak mencurigakan dengan beberapa kali brek secara mengejut sebelum memberi isyarat meminta mereka berhenti di tepi jalan yang gelap.

Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka, kejadian dipercayai berlaku di laluan Bandar Tenggara menghala ke Kulai di Johor Baharu sekitar pukul 7.55 malam, kelmarin.

Menerusi perkongsian video di Threads, wanita itu mendakwa insiden bermula sebaik sahaja mereka memasuki simpang menghala ke Bandar Tenggara.

Menurutnya, keadaan jalan ketika itu gelap dan tiada kenderaan lain sebelum sebuah kereta memorong kenderaan pasangan berkenaan, namun bergerak secara perlahan.

“Kita pun perlahan juga sebab ingat dia nak masuk simpang. Tiba-tiba dia terus berhenti. Nasib kita ‘alert’ lagi waktu ini. Dia bagi lampu isyarat, dia nak kami berhenti waktu ini. Memang tidaklah nak berhenti gelap-gelap ini,” katanya.

Wanita itu mendakwa pemandu terbabit turut menghalang mereka daripada memotong sebelum kembali memecut.

“Selepas itu dia brek sekali lagi dan bagi isyarat suruh kita berhenti tepi. Masa ini suami buka tingkap tapi pemandu menyorok ke belakang.

“Kalau betul ada tidak puas hati, mesti pemandu itu sudah buka tingkap, kan?” katanya sambil memaklumkan terdapat kesan kemek seakan-akan akibat pelanggaran pada bahagian belakang sebelah kanan kereta mereka.

Wanita itu turut mempersoalkan sama ada tindakan berkenaan mempunyai kaitan dengan cubaan samun.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang turut mendakwa pernah mendengar kejadian menggunakan taktik sama.

“Ini dari 10 tahun lalu pun taktik yang sama. Biasanya dua buah kereta. Jalan gelap satu lorong, dua hala. Pemandu seorang diri memandu tengah malam itu sasaran mereka. Kemudian satu kereta akan memotong. Taktik sama, perlahan dan tiba-tiba brek untuk menyebabkan kita melanggar,” kata Fadzli.

“Hari itu ada lalu juga jalan ini, dalam hati ada juga terdetik, ‘jalan ini kalau orang hendak buat khianat bila-bila sahaja boleh berlaku’. Jadi juga rupanya. Ya Allah, seram,” kata Nana.

“Buat laporan, jangan biar benda macam ini berulang,” kata seorang pengguna media sosial. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN