Anwar ketika berjabat tangan dengan Xi Jinping di APEC 2026. Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Banyak perkara penting dibincang Anwar, Jinping

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHENZHEN – Malaysia dan China membincangkan pelbagai bidang kerjasama penting semasa pertemuan dua hala antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden China Xi Jinping, hari ini.

Anwar berkata, antara bidang kerjasama yang dibincangkan ialah projek bekalan air dari Sungai Perak ke Pulau Pinang, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), pelaburan, perdagangan serta industri nadir bumi.

“Beberapa program yang dianggap keutamaan akan dipercepatkan termasuk projek bekalan air dari Sungai Perak ke Pulau Pinang yang telah diluluskan,” kata beliau kepada media Malaysia selepas pertemuan dengan Xi di Qilin Villa State Guest House, di sini.

Perdana Menteri berkata, perbincangan juga tertumpu kepada teknologi AI yang dilihat penting khususnya dalam menangani isu keselamatan dan penguatkuasaan terutamanya berkaitan penyeludupan dan permasalahan di sempadan.

Selain itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan mengenai kerjasama universiti dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), peningkatan pelaburan dari China ke Malaysia dan sebaliknya serta usaha meningkatkan eksport produk Malaysia ke China, selaras dengan perbincangan terdahulu antara kedua-dua negara.

Anwar berkata hubungan Malaysia-China kini berada pada tahap yang sangat baik, namun kedua-dua negara berhasrat memperkukuh lagi kerjasama menerusi pertemuan berkala.

“Hubungan kita dengan China ini sudah sampai ke tahap yang agak terbaik. Banyak diselaraskan oleh Kementerian Luar dan Duta di sini, tetapi sekarang ini kita nak tingkatkan lagi dengan Menteri Luar akan memainkan peranan menyelaras perkara berkenaan,” kata beliau.

Beliau berkata mekanisme itu akan membolehkan isu berkaitan pelaburan, pendidikan dan kerjasama lain dapat dibincangkan secara lebih menyeluruh,

Mengenai nadir bumi, Anwar berkata Malaysia terbuka untuk bekerjasama dengan semua negara, termasuk China, namun dasar negara menetapkan bahawa bahan mentah nadir bumi tidak dieksport, sebaliknya pemprosesan perlu dilaksanakan di Malaysia.

“Syarat yang sama kita berikan kepada semua negara lain termasuk Amerika Syarikat dan Perancis baru-baru ini,” kata beliau.

Mengenai persiapan operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Anwar said Xi akan menghantar pegawai kanannya untuk mengetuai delegasi China ke majlis pelancaran pada Disember ini.

Pertemuan selama kira-kira 20 minit itu merupakan pertemuan dua hala keempat antara Anwar dan Xi, selepas pertemuan di Beijing pada 7 Nov, 2024, Putrajaya pada 16 April, 2025 dan Beijing pada 2 Sept, 2025.- Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN