Nancy.

25 kaunselor bantu mangsa banjir di PPS Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA SELANGOR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan 25 kaunselor bagi memberikan sokongan psikososial, kaunseling dan intervensi krisis kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kaunselor yang terdiri daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) itu memberi tumpuan khusus kepada golongan rentan termasuk wanita, warga emas dan kanak-kanak, terutama pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Di Selangor jumlah mangsa banjir kini melebihi 1,000 orang, terutama di Kuala Selangor yang dilanda banjir sejak 16 hari lepas.

“Justeru, kita menyediakan kaunselor untuk menyelami masalah mangsa di PPS menerusi pendekatan berbeza mengikut peringkat umur, khususnya dalam membantu mereka membuat persediaan untuk kembali ke kediaman selepas banjir surut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela, Jeram di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah JKM Wan Noraidah Wan Mohd Zain, Pengarah JKM Selangor Azmir Kassim dan Pegawai Daerah Kuala Selangor Mohd Raiz Radzuan.

PPS yang dibuka sejak 5 November lalu itu menempatkan 394 mangsa daripada 102 keluarga setakat pagi tadi berikutan banjir termenung di beberapa kawasan sekitar, termasuk Kampung Bukit Kuching dan Kampung Bukit Hijau.

Nancy berkata, KPWKM sentiasa bersiap siaga menempatkan pegawai dan petugas JKM bagi memastikan urusan serta kebajikan mangsa di semua PPS berjalan lancar.

“Kita mempunyai 1,100 kakitangan JKM Selangor, termasuk 35 yang ditempatkan di PPS sekitar Kuala Selangor dan kita juga berharap dapat membawa lebih ramai sukarelawan untuk membantu mangsa yang terjejas akibat banjir, termasuk membuat persediaan menghadapi situasi sama di kawasan lain di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata semua urusan bantuan kepada mangsa banjir berdaftar dengan JKM berjalan lancar setakat ini, termasuk penyaluran bantuan tunai tambahan khas di PPS SK Dato’ Maharaja Lela.

Sementara itu, penduduk Kampung Bukit Hijau Rahman Asroo, 63, bersyukur menerima bantuan tunai khas kerajaan yang disalurkan hari ini bagi meringankan beban keluarganya.

“Saya bersama isteri dan dua anak berlindung di PPS SK Dato’ Maharaja Lela ini sejak dua minggu lepas selepas kediaman dan kedai makan kami dinaiki air.

“Bantuan khas itu amat diperlukan kerana kami bukan sahaja mengalami kerosakan harta benda, malah kehilangan punca pendapatan. Saya berharap masalah banjir ini segera selesai,” katanya.

Pada 9 November lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, bantuan tunai tambahan khas sekali beri RM2,500 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir yang layak di Selangor. Tambahan bantuan RM500 turut disalurkan oleh Kerajaan Selangor.- Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN