SEREMBAN – Seorang lelaki yang disiasat berhubung kes penyamaran sebagai Pengawal Peribadi Sulit (ADC) Raja Muda Selangor dipenjara 12 bulan dan satu sebatan di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu wang berjumlah RM27,300 berkaitan Rumah Selangorku dan tanah rizab Sultan Selangor sejak 2024.
Majistret Nursalihah Sulaiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Al-Zulfadly Alias, 40, bermula dari tarikh jatuh hukum hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah menipu seorang lelaki berusia 26 tahun dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh menawarkan sebuah kereta Honda City milik kerajaan dan sebuah rumah di bawah rizab tanah Sultan Selangor untuk dibeli sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM22,300 yang dimasukkan ke dalam akaun tertuduh.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah didapati menipu seorang lelaki berusia 25 tahun dengan memperdayakannya membuat pembayaran sebanyak RM5,000 untuk pembayaran deposit Rumah Selangorku yang tidak wujud yang mana mangsa telah menyerahkan wang tersebut.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan pada 6 Julai 2024 sehingga 22 Mac 2025 di Bandar Enstek, Nilai dan antara 8 hingga hingga 9 Oktober 2024 di sebuah kilang di Sendayan Techvally di sini. Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri. Tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, J.Dasene.-KOSMO! ONLINE














