SEORANG pelajar berlari menuju ke Sekolah Tinggi Perempuan Yeouido untuk menduduki peperiksaan Suneung di Seoul hari ini. – AFP

Calon peperiksaan dilarang pakai baju berbutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEOUL – Korea Selatan memotong liputan wi-fi di sekitar dewan peperiksaan dan menawarkan ganjaran AS$75,000 ( RM334,000) kepada pemberi maklumat dalam usaha mencegah  penipuan menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) ketika 500,000 pelajar menduduki peperiksaan kemasukan kolej yang mencabar pada Khamis.

Dinamakan Suneung, peperiksaan sembilan jam,  sekali setahun itu dianggap sebagai tiket untuk memasuki universiti berprestij, pekerjaan bergaji tinggi dan prospek perkahwinan yang lebih baik di Korea Selatan.

Bagaimanapun, pada tahun ini, kebimbangan terhadap penipuan menerusi AI mendorong pihak berkuasa mengambil langkah luar biasa, termasuk menggandakan bilangan pengawas serta menghantar mesej amaran secara rawak bagi mengesan sebarang telefon pintar yang diseludup secara haram ke dalam dewan peperiksaan.

“Saya datang ke sini dengan hati yang berat kerana bimbang tentang penipuan dengan bantuan AI,” kata Bang Min-ji, 18, kepada AFP semasa dia bersiap sedia untuk memasuki Sekolah Tinggi Perempuan Yeouido di pusat bandar Seoul pada pagi Khamis.

Ibu bapa yang cemas kelihatan memeluk anak perempuan mereka di ibu negara Korea Selatan itu, di mana suhu jatuh di bawah paras beku.

Suneung  bermula pada pukul 8.40 pagi (waktu tempatan) dengan amaran telefon bimbit di seluruh negara berbunyi 10 minit lebih awal.

Jurugambar AFP melihat seorang pelajar yang lewat tergesa-gesa masuk ke sekolah tinggi berkenaan selepas menaiki kereta polis.

Pelajar diminta hadir dengan hanya membawa pensel. Pemadam akan disediakan oleh pusat ujian, ketika pihak berkuasa cuba mengurangkan peluang penggunaan peranti digital tersembunyi yang menyamar sebagai alat tulis.

Calon peperiksaan juga diminta mengelak daripada memakai pakaian berbutang, dengan mereka yang gagal mematuhi aturan akan ditampal pelekat pada butang pakaian bagi mengelakkan penggunaan kamera tersembunyi.

Bang berkata, dia bimbang sekatan ke atas alat tulis boleh mengganggu tumpuannya.

“Saya bimbang saya mungkin panik jika menghadapi kesukaran menggunakan alat tulis yang disediakan semasa ujian.”

Di tempat lain di ibu negara Korea Selatan itu, pelajar lelaki dirakam memangku kepala dengan tangan mereka ketika duduk dengan gelisah di meja peperiksaan.

Sebahagian besar Korea Selatan lumpuh seketika pada hari Suneung, dengan penerbangan dihentikan sementara semasa ujian pendengaran Bahasa Inggeris, manakala kebanyakan pejabat dibuka sejam lebih lewat daripada biasa untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan dagangan saham juga ditangguhkan selama sejam.

Pada tahun ini,  Korea Selatan melaksanakan siri langkah antipenipuan luar biasa selepas calon mendapat markah tertinggi dalam peperiksaan akauntan cukai kebangsaan mengaku menggunakan kamera miniatur dan telefon pintar untuk mendapatkan jawapan janaan AI, mencapai markah hampir sempurna.

Pendedahan itu menyemarakkan syak wasangka bahawa peperiksaan penting lain juga telah dikompromi, termasuk ujian kemasukan ke sekolah undang-undang dan ujian lesen profesional.

Dalam pada itu, Presiden Lee Jae Myung menjanjikan ganjaran sekurang-kurangnya AS$75,000  kepada  sesiapa yang melaporkan salah laku, serta pengurangan hukuman bagi mereka yang menyerahkan rakan subahat mereka. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN