SEOUL – Polis Korea Selatan melancarkan siasatan terhadap seorang calon yang memperoleh markah tertinggi dalam peperiksaan kelayakan akauntan cukai kebangsaan selepas individu itu mengaku menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meniru ketika menduduki ujian berkenaan.
Calon terbabit, yang menduduki tempat pertama dalam kedua-dua peringkat peperiksaan pada April dan Julai lalu, membuat pengakuan bertulis menerusi peguamnya bahawa dia menggunakan teknologi AI untuk mendapatkan jawapan ketika peperiksaan berlangsung.
Dia memperoleh 397.5 daripada 400 markah dalam peringkat pertama dengan hanya satu daripada 160 soalan dijawab salah, sekali gus mencetuskan syak wasangka bahawa dia menggunakan cermin mata pintar untuk meniru.
Bagaimanapun, calon itu pada awalnya menafikan dakwaan berkenaan sebelum akhirnya mengakui perbuatannya.
“Kami menerima pengakuan bertulis menerusi peguam calon berkenaan pagi ini berhubung kes meniru dalam peperiksaan akauntan cukai,” menurut Agensi Polis Metropolitan Seoul.
Agensi itu turut memaklumkan bahawa kes berkenaan sudah diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Menurut laporan media tempatan, Kementerian Ekonomi dan Kewangan Korea Selatan merancang mengambil tindakan segera untuk menggantung kelayakan profesional calon terbabit.
Dalam satu video YouTube yang dimuat naik di saluran peguamnya, calon itu mengaku menggunakan kaedah penipuan berkenaan dan menyatakan rasa kesal terhadap tindakannya.
“Saya menggunakan kamera mini untuk mengambil gambar soalan peperiksaan dan menghantarnya kepada AI, sebelum menyemak jawapan yang diberikan menerusi telefon pintar,” katanya.
Peguamnya bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut berhubung kaedah penipuan itu atas kebimbangan ia mungkin ditiru oleh calon lain. – AFP
















