PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) bakal kembali ‘hidup’ dan memasuki era baharu apabila bakal mengadakan Kongres Luar Biasa, 26 November ini.
Selepas tarikh akhir penyerahan Borang Pencalonan, 5 November lalu dan proses tapisan, tiga jawatan melibatkan Presiden, Timbalan Presiden dan tiga kerusi Naib Presiden tidak akan berlaku pertandingan serta bakal dimuktamadkan secara rasmi pada kongres itu.
Ia membabitkan lima calon iaitu Datuk Seri Rosmadi Ismail untuk jawatan Presiden, Azman Ibrahim (Timbalan Presiden) dan Amin Zubair Muhamad, Khabir Sufi Burhanuddin serta Mohd Shukry Pauzi (Naib Presiden).
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman berkata, segala proses menjelang kongres untuk melunaskan era baharu badan induk itu sedang berjalan dengan baik dan berharap segalanya dapat berlangsung secara lancar.
“Buat ketika ini berjalan dengan lancar dan pastinya kita mengharapkan yang terbaik untuk menghidupkan semula bola sepak di Kelantan,” katanya.
Untuk rekod, menerusi kenyataan rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 24 Disember 2024 lalu memaklumkan KAFA telah digantung keahliannya sebagai Ahli Gabungan FAM berkuat kuasa serta-merta.
Jawatankuasa Eksekutif FAM secara majoriti menerusi keputusan secara bertulis telah bersetuju dengan cadangan tindakan yang telah dibentangkan untuk menggantung keahlian KAFA.
Keputusan untuk menggantung KAFA ini dibuat berdasarkan Artikel 17 Statut FAM dimana Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM memutuskan bahawa Kongres KAFA kali ke-65 dan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA Bagi Sesi 2024-2028 adalah tidak sah.
Untuk pemilihan kali ini, lapan ahli layak mengundi iaitu Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Jeli, Machang, Pasir Puteh, Bachok dan Persatuan Bola Sepak India Kelantan.
















