LALUAN berliku merentasi hutan sunyi, Jalan Alas Roban di Kabupaten Batang, Jawa Tengah, Indonesia menyimpan pelbagai kisah misteri yang terus menjadi bualan masyarakat.
Jalan yang menghubungkan kawasan Semarang dan Batang itu bukan sahaja terkenal dengan keadaan laluan mencabar. Malah, sering dikaitkan dengan kemunculan makhluk halus, bas berhantu dan kedai makan misteri pada waktu malam.
Gelaran Jalur Tengkorak yang diberikan kepada Alas Roban turut menambahkan reputasinya sebagai antara laluan menyeramkan di Indonesia.
Menurut laporan media tempatan, Detik.com, kawasan tersebut mempunyai jalan berbukit dan selekoh tajam yang boleh membahayakan pemandu, khususnya ketika hujan atau waktu malam.
Keadaan hutan yang tebal serta pencahayaan jalan terhad mewujudkan suasana suram, sekali gus menyebabkan pelbagai cerita seram dikaitkan dengan kawasan berkenaan.
Antara kisah yang sering diperkatakan adalah kemunculan bas berhantu pada 1996.
Berdasarkan laporan Liputan6, seorang penunggang motosikal yang melalui kawasan itu pada waktu malam dikatakan mengalami kejadian aneh apabila terserempak dengan sebuah bas misteri.
“Cerita yang tersebar menyebut bas berkenaan muncul ketika dalam keadaan gelap, sebelum berlaku kejadian luar biasa yang sukar dijelaskan.
“Kisah itu kemudian menjadi antara legenda seram yang dikaitkan dengan Alas Roban, meskipun tiada pengesahan bahawa kejadian tersebut benar-benar melibatkan unsur paranormal,” tulis laporan berkenaan.
Selain bas berhantu, kisah warung ‘ghaib’ atau kedai makan ghaib turut menjadi antara cerita popular dalam kalangan pengembara yang pernah mendengar legenda Alas Roban.
Laporan Karanganyar News pada 2022 memetik kisah sebuah keluarga yang melalui kawasan tersebut pada 2005, sebelum mengalami kejadian misteri ketika dalam perjalanan pulang.
“Cerita itu menggambarkan pengembara tersebut menemui kedai makan di tengah perjalanan, namun suasananya berubah aneh sehingga menimbulkan tanda tanya selepas mereka meninggalkan tempat berkenaan.
“Kepercayaan masyarakat terhadap unsur mistik di Alas Roban turut melahirkan amalan membunyikan hon ketika melalui laluan berkenaan,” ujarnya.
Sementara itu, menurut laporan detikJateng pada Januari lalu, amalan membunyikan hon dikaitkan dengan kepercayaan terhadap makhluk penjaga kawasan, termasuk susuk dikenali sebagai Ki Janggut Putih dan Nyi Putih.
Ada yang percaya membunyikan hon merupakan tanda menghormati penghuni alam ghaib serta mengelakkan gangguan sepanjang perjalanan.
Selain itu, kisah kemunculan monyet putih misteri turut mewarnai cerita rakyat setempat.
Walaupun tidak dapat dibuktikan secara saintifik, namun kepercayaan tersebut terus diwarisi sehingga menjadi sebahagian daripada identiti mistik laluan berkenaan.
Namun, reputasi seram Alas Roban tidak boleh dipisahkan daripada sejarah dan keadaan fizikalnya.
Jalan utama di kawasan itu dikenali sebagai Jalan Poncowati yang dibina pada zaman pemerintahan Gabenor Jeneral Hindia Belanda, Herman Willem Daendels.
Laluan yang merentasi kawasan hutan tersebut mempunyai bentuk muka bumi mencabar dan pernah menjadi lokasi kemalangan ngeri serta kejadian jenayah.
Faktor berkenaan dipercayai menyumbang kepada kemunculan cerita misteri yang berkembang dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Sehingga kini, Alas Roban terus menjadi sebahagian daripada cerita seram popular di Indonesia.
Sama ada kisah bas berhantu, kedai makan ghaib, mahupun kepercayaan tentang penghuni hutan, semuanya memperlihatkan bagaimana suasana persekitaran boleh membentuk legenda yang kekal dalam ingatan masyarakat.
Bagi pengguna jalan raya, perkara yang lebih penting adalah memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mengawal kelajuan dan mengelakkan perjalanan ketika terlalu letih.
Di sebalik pelbagai cerita mengundang rasa meremang bulu roma itu, keadaan jalan mencabar tetap menjadi ancaman yang perlu diberikan perhatian oleh pemandu.
















