MANILA – Jadual padat menanti Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, hari ini, dengan krisis Myanmar serta ketegangan di Laut China Selatan dijangka menjadi antara agenda utama.
Perdana Menteri yang tiba, malam tadi, dijadualkan menghadiri majlis perasmian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina (PICC) yang akan dipengerusikan oleh Presiden Filipina, Ferdinand R Marcos Jr selaku Pengerusi ASEAN.
Majlis itu akan disusuli dengan sidang pleno dan sesi permukiman pemimpin.
Anwar diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Hari ini, beliau akan menyertai pemimpin ASEAN lain dalam beberapa mesyuarat berasingan bersama-sama wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dan Belia ASEAN.
Anwar juga dijadualkan menerima kunjungan hormat daripada Presiden Asian Development Bank (ADB), Masato Kanda, pada sebelah petang.
Menurut Kementerian Luar, sidang kemuncak itu akan memberi peluang untuk Malaysia bertukar-tukar pandangan mengenai pembinaan Komuniti ASEAN dan hala tuju masa depan blok itu.
Perbincangan antara lain akan memfokus usaha memperkukuhkan daya tahan serantau dan keselamatan tenaga serta rantaian bekalan dalam suasana global yang terus berubah.
Selain itu, pemimpin dijangka mengkaji semula pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN mengenai Myanmar, dan membincangkan langkah seterusnya yang perlu diambil oleh blok berkenaan.
Perbincangan mengenai keselamatan maritim pula dijangka merangkumi cadangan penubuhan Pusat Maritim ASEAN, di samping perkembangan rundingan berhubung Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan.
Menurut kementerian, pemimpin turut dijangka membincangkan isu pencemaran jerebu rentas sempadan serta krisis yang berterusan di Asia Barat.
Esok, Anwar dijadualkan menghadiri sidang kemuncak bersama China, Australia, Korea Selatan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perhimpunan selama tiga hari bertema ‘Navigating Our Future, Together’ itu akan melabuhkan tirainya pada Selasa depan dengan beberapa lagi mesyuarat, termasuk Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat, serta penyerahan jawatan Pengerusi ASEAN daripada Filipina kepada Singapura. – KOSMO! ONLINE
















