Anwar beramah mesra dengan peniaga di Pasar Malam Taman Rekreasi Datuk Wira Poh Ah Tiam, Machap Baru, Melaka hari ini.

PRN Melaka: Anwar santuni peniaga, pengunjung pasar malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pasar Malam Taman Rekreasi Datuk Wira Poh Ah Tiam, Machap Baru hari ini, mencuri perhatian pengunjung dan peniaga, sekali gus memeriahkan suasana petang di kawasan itu.

Tinjauan Bernama di pasar malam tersebut mendapati penyokong parti gabungan berkenaan serta orang ramai sudah berada di pasar malam itu seawal pukul 6 petang untuk menunggu ketibaan Anwar.

Anwar yang tiba kira-kira pukul 6.50 petang meluangkan masa selama 10 minit menyantuni peniaga dan orang ramai dalam suasana santai sambil memperkenalkan Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin.

Sesi jelajah mesra kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 itu turut disertai Ketua Wanita PKR, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Anwar, yang juga Presiden PKR, kemudian bergerak ke Machap Walk untuk menyantuni penyokong PH di kawasan itu dan memberikan ucapan ringkas.

“Saya datang ini untuk beri sokongan kepada Ginie Lim dan kita mahu bawa perubahan, saya minta semua kaum Cina, India, Melayu, Orang Asli, semua kita bersatu bawa sokongan kepada PH,” katanya sebelum menamatkan sesi jelajah mesra itu pada pukul 7.07 malam.

Terdahulu, peniaga air soya Sith Siew Pueh, 60, teruja kerana dapat bersalaman dengan Anwar dan melihat figura nombor satu negara itu secara bersemuka.

“Rasa gembira … Perdana Menteri hulur tangan untuk bersalaman dan tanya khabar … inilah kali pertama saya melihat beliau di depan mata, selalu tengok di televisyen,” kata peniaga itu yang berniaga di pasar malam tersebut lebih 10 tahun.

Peniaga aksesori wanita, Wong Tin Kim, 41, dari Taman Melor, Machap Baru yang turut gembira dan teruja berkata, kedatangan Anwar ke pasar malam itu menaikkan semangatnya untuk memberikan sokongan kepada calon PH di DUN tersebut.

Kerusi DUN Machap Jaya menyaksikan persaingan tiga penjuru pada PRN kali ini dengan Lim dicabar oleh penyandang kerusi Datuk Ngwe Hee Sem (Barisan Nasional) dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) Prasanth Kumar Brakasam.

SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian PRN Melaka. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN