BAGI memudahkan urusan harian, manusia pada hari ini amat bergantung pada pengangkutan darat untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.
Selain kenderaan, jalan raya merupakan salah satu elemen penting bagi membolehkan manusia membuat pergerakan dengan cepat dan selamat.
Justeru itu, manusia membina jaringan jalan raya yang menghubungkan pelbagai penempatan termasuk di lereng gunung, dalam pulau, atas puncak bukit dan di kawasan sejuk.
Hakikatnya, terdapat beberapa jalan raya di dunia dikelaskan sebagai sangat berbahaya kerana boleh mengancam nyawa manusia yang melaluinya.
Misalnya, jambatan di tengah laut, lebuh raya diliputi ais, lereng tebing sempit dan selekoh-selekoh boleh mengundang kemalangan maut.
Justeru itu, minggu ini CitaRasa senaraikan lima jalan raya paling berbahaya di dunia mengikut senarai dikeluarkan oleh portal insurance4carhire.
1- Jalan Killar ke Pangi, India
Laluan sepanjang 113 kilometer (km) ini merentasi kawasan pergunungan Kishtwar di utara India. Jalan ini dikelilingi jurang melebihi 2,500 meter iaitu antara paling curam di dunia.
Tebing berbatu sempit dengan bentuk muka bumi tidak stabil menjadikan laluan ini hanya mampu diharungi oleh pemandu yang memiliki keberanian tinggi.
Laluan ini juga tidak berturap dan tiada sebarang pagar, mahupun benteng keselamatan. Kelebarannya pula hanya memuatkan sebuah kenderaan pada satu-satu masa.
Disebabkan itu, jalan ini hanya dibuka pada musim panas. Menjelang musim sejuk, jarak penglihatan yang terhad dan kejadian tanah runtuh menjadikan laluannya ini sangat berbahaya.
Ratusan kematian telah direkodkan selama bertahun-tahun, di samping banyak lagi insiden yang tidak dilaporkan.
2- Terowong Guoliang, China

Terowong Guoliang dibina merentasi tebing pergunungan berbatu di wilayah Henan, China. Laluan ini menjangkau sepanjang 1.2km dengan altitud ketinggian mencecah lebih 600 meter.
Sebelum pembinaannya, perkampungan Guoliang hampir mustahil untuk dikunjungi menggunakan jalan darat.
Memandangkan pemerintah China enggan membina jalan raya, satu laluan telah dipahat sendiri oleh 13 orang penduduk kampung berkenaan.
Bermula pada awal dekad 1970-an, mereka menggunakan bahan letupan untuk merintis jalan menerusi Pergunungan Taihang. Pembinaannya mengambil masa lebih lima tahun, sebelum dibuka secara rasmi pada 1977.
Dengan ketinggian hanya 5.4 meter dan kelebaran 3.5 meter, terowong ini hampir tidak muat untuk dua kenderaan berselisih.
3- Lebuh Raya Dalton, Alaska

Laluan Dalton (Dalton Pass) merupakan laluan rentas sejauh 666km yang merentasi Alaska di Amerika Syarikat. Laluan ini bermula di Lebuh Raya Elliott dan berakhir di Deadhorse, berhampiran Lautan Artik.
Jalan raya ini menjadi laluan utama para pemandu lori yang berulang-alik ke Medan Minyak Prudhoe Bay.
Laluan ini begitu berbahaya sehingga pernah dipaparkan dalam beberapa program televisyen terkenal, termasuk America’s Toughest Jobs, Ice Road Truckers serta World’s Most Dangerous Roads.
Keadaan cuaca ekstrem di Alaska menghadirkan pelbagai cabaran getir seperti tiupan angin kencang, runtuhan salji, bentuk muka bumi mencabar dan tahap kebolehlihatan sangat rendah.
4- Jalan North Yungas, Bolivia

Dengan kelebaran jalan hanya 3.5 meter tanpa pagar penghadang, laluan North Yungas sering digelar sebagai lebuh raya paling berbahaya di dunia.
Terletak di kawasan pergunungan Cordillera Oriental di Bolivia, tebing curamnya berisiko menyebabkan pemandu terjunam lebih 4,600 meter ke bawah.
Laluan mencabar sepanjang 80km dari La Paz ke Coroico ini hanya sesuai untuk mereka yang berani. Walaupun demikian, laluan ini tetap menarik kehadiran ramai pelancong serta digunakan oleh penduduk tempatan. Dianggarkan antara 200 hingga 300 orang terkorban di laluan ini setiap tahun.
5- Jalan Atlantic, Norway

Walaupun jalan ini menawarkan pemandangan memukau, namun terdapat satu bahagian yang mampu menggentarkan pemandu.
Laluan sepanjang 8km ini merentasi gugusan pulau di daerah More og Romsdal.
Reka bentuknya yang mengagumkan telah melayakkan laluan ini dinobatkan sebagai ‘Binaan Abad Ini’ pada tahun 2005. Liku-liku yang tajam membuatkan anda berasa seperti menaiki ‘rollercoaster’ santai sambil menikmati pemandangan indah.
Namun demikian, terdapat satu seksyen yang benar-benar mendebarkan. Ketika menghampiri kawasan perairan Hustadvika, jambatan tersebut naik hampir 300 meter pada sudut agak luar biasa.
Walaupun laluan ini tidak begitu berbahaya pada musim panas, namun ia boleh menjadi sangat berisiko apabila tiba musim sejuk. Bahagian jambatan yang melengkung ini bertindak seperti terowong angin dan sering dibadai ombak.
















