DARI kejauhan, aroma pastri yang sedang dibakar mula menyapa deria bau Hady Armeen ketika lelaki itu melintasi laluan kecil menuju ke Lord Stow’s Bakery di Kampung Coloane, Macau yang menjadi antara lokasi ikonik merasai keenakan tart telur di Wilayah Khas Pentadbiran China itu.
Sebaik melangkah masuk ke kedai berusia lebih 37 tahun itu, deretan tart telur baru dibakar dengan aroma mentega menyelerakan terus menyapa pandangan lelaki itu yang pertama kali mahu mencuba menu ikonik tersebut.
Aroma mewah menggabungkan rasa mentega, susu dan gula seakan memberi gambaran awal tentang keistimewaan pastri itu yang turut diangkat sebagai antara menu wajib cuba ketika berkunjung ke Macau.
Menurut Hardy, 27, pengalaman merasai sendiri hidangan pastri nipis diisi inti kastard memberi persepsi baharu terhadap menu ikonik yang menggabungkan budaya Eropah dan Asia itu.
Katanya, meskipun secara visual tart telur Macau dilihat seakan sama dengan versi di negara lain, namun gabungan teknik dan rasa antara dua budaya memberi nilai tambah kepada hidangan itu.
“Sebelum ini, saya pernah mencuba beberapa variasi tart telur, namun berbeza dengan versi Macau, rasanya ringan, kurang manis selain pastri lebih nipis dan rangup.
“Meskipun hidangan itu mempunyai persamaan dengan pastel de nata dari Portugal, namun versi Macau mempunyai identiti tersendiri menerusi olahan resipi cef pastri British, Andrew Stow yang disesuaikan dengan budaya tempatan,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.


Jelas penulis pelancongan itu, jika diperhatikan, tart telur Macau juga mempunyai perbezaan berbanding versi Hong Kong berdasarkan ciri-ciri rupa bentuk dan teksturnya.
“Untuk versi Macau, kulit pastrinya sedikit berlapis selain rangup dan rapuh apabila digigit, manakala inti kastardnya lembut dan berkrim.
“Bahagian atasnya juga mempunyai tompokan perang gelap hasil proses karamelisasi ketika dibakar pada suhu tinggi,” katanya.
Berbeza versi Hong Kong, lazimnya tart telur itu mempunyai permukaan kastard kuning licin dan sekata selain menggunakan pastri rapuh seperti biskut atau pastri berlapis serta tiada tompokan hangus.
“Jadi, ciri-ciri berkenaan menjadi antara faktor kenapa hidangan itu perlu dicuba apabila ke Macau kerana ia mempunyai penceritaan menarik termasuk dalam aspek pertembungan budaya,” katanya.
Untuk maklumat, tart telur Macau mendapat inspirasi daripada pastel de nata iaitu pastri kastard telur tradisional Portugal yang turut diperkenalkan oleh cef Portugis Elias da Silva dan Afonso Pereira ketika bekerja di salah sebuah hotel di negara itu.
Bagaimanapun, pada 1989, Andrew Stow merupakan seorang cef British membuka Lord Stow’s Bakery dengan menghasilkan tart telur berinspirasikan pastel de nata, sekali gus menjadi antara titik penting dalam melonjakkan populariti hidangan khas Macau itu ke persada antarabangsa.
Sementara itu, anak perempuan Stow, Audrey Margaret Stow yang kini menyambung legasi memperkenalkan tart telur Macau kepada dunia menyifatkan akan terus bekerja keras bagi memastikan menu ikonik itu kekal dinikmati orang ramai.
Mengimbas penciptaan menu ikonik itu, kata wanita itu, bapanya yang berasal dari United Kingdom berhijrah ke Macau pada 1979 untuk bekerja sebagai ahli farmasi sebelum bertemu ibunya untuk membuka gerai dikenali sebagai Tropical Health Foods.

Menurutnya, dengan latar belakang dalam bidang farmasi, bapanya mahu menyediakan makanan sihat untuk penduduk tempatan.
“Gerai itu bukan sebuah kedai roti pada awalnya. Namun, pada 1989, beliau telah menukarkan gerai itu kepada Lord Stow’s Bakery dan mula menjual roti serta kek,” katanya.
Audrey berkata, idea menghasilkan tart telur tercetus selepas bapanya mengimbas kembali pengalamannya ketika melancong ke Portugal dan melihat sajian berkenaan.
“Bagaimanapun, beliau tidak mahu mendapatkan resipi daripada orang lain, sebaliknya memilih untuk hasilkan resipinya sendiri berdasarkan pengetahuan saintifik yang diperoleh melalui bidang farmasi,” jelasnya.
Mengulas keistimewaan tart telur Lord Stow’s yang menjadi menu ikonik Macau, katanya, setiap orang mempunyai cita rasa tersendiri dan perbezaan sajian itu boleh dinilai berdasarkan pengalaman masing-masing ketika menikmatinya.
Bagaimanapun, katanya, antara perbezaan utama terletak pada penggunaan bahan pastri dan tekstur inti kastard.
“Kami hanya menggunakan bahan berkualiti tinggi yang diimport bagi menghasilkan tart itu sekali gus kekal memastikan kepuasan pelanggan.
“Selain itu, kami juga tidak menggunakan sebarang minyak haiwan dalam proses pembuatan tart, sebaliknya hanya melibatkan bahan seperti krim, mentega, tepung, telur, gula dan susu sahaja,” katanya.
Selain itu, permukaan tart telur berkenaan turut mempunyai kesan keperangan gelap hasil proses karamelisasi gula ketika dibakar.
Jelasnya, secara purata, sejumlah 30,000 biji tart telur dihasilkan setiap hari selain jumlahnya mampu mencecah kepada 47,000 sehari ketika sambutan musim perayaan.
Biarpun belum ada pensijilan halal daripada pihak berkuasa, namun ramuannya dikatakan mesra Muslim.
Dalam pada itu, Eksekutif Perhubungan Awam Pejabat Pelancongan Kerajaan Macau, Jenny Kou berkata, kisah di sebalik penciptaan tart telur Macau disifatkan begitu unik ekoran menggabungkan pengaruh budaya berbeza.
“Tart telur dikenali hari ini merupakan hasil kreativiti seorang cef pastri British yang menggabungkan teknik penyediaan tart kastard dengan menyesuaikannya dengan cita rasa tempatan.
“Hari ini, pastri menyelerakan itu terus menjadi antara makanan ringan paling digemari dan dikenali di peringkat antarabangsa dari Macau.
“Nilainya bukan sekadar sebagai makanan jalanan popular, malah penting dalam usaha mengkaji dan memelihara budaya makanan tempatan,” ujarnya.
Katanya, pada 2020, ‘Confection of Custard Tarts’ secara rasmi disenaraikan dalam Inventori Warisan Budaya Tidak Ketara Macau.
“Pengiktirafan itu mengukuhkan nilai makanan itu iaitu bukan sahaja sebagai hidangan istimewa, tetapi diiktiraf sebahagian daripada sejarah Macau,” jelasnya.
















