NURIL ANWAR pernah meluahkan hasrat kepada isterinya, Rahimah untuk menjadi penderma organ sebelum meninggal dunia pada 7 November lalu.

‘Hati berubah bila ada bayi perlu mata suami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang isteri yang pada awalnya menolak hasrat arwah suaminya untuk mendermakan organ berubah serta-merta selepas mengetahui terdapat bayi yang menantikan pendermaan mata bagi membolehkannya melihat dunia.

Rahimah Ratag, 34, berkata, pada awalnya dia tidak bersetuju dengan hasrat suaminya, Allahyarham Nuril Anwar Mohd. Sidek, 43, untuk menjadi penderma organ.

Wanita itu bimbang proses tersebut akan menyakitkan jasad suaminya selepas meninggal du­nia. Bagaimanapun, pendiriannya berubah selepas doktor menerangkan mengenai proses pendermaan organ dan memaklumkan ada bayi memerlukan mata untuk mengembalikan penglihatannya.

Menurut Rahimah, dia mula memikirkan harapan individu yang sedang menunggu pen­derma organ termasuk bayi yang berpeluang menikmati penglihatan seperti kanak-kanak lain.

“Sebelum ini, saya memang tidak bersetuju kerana sebagai seorang Islam, saya terfikir apabila seseorang itu sudah menjadi jenazah, adakah proses berkenaan akan menyakitkannya.

“Saya tidak mahu arwah sakit, tetapi apabila doktor menerangkan siapa yang memerlukan organ tersebut terutama apabila diberitahu ada bayi yang menunggu untuk mendapatkan penglihatan, saya terus bersetuju,” katanya kepada Kos­mo! Ahad baru-baru ini.

Pasangan yang telah mendirikan rumah tangga selama sembilan ta­hun itu mengusahakan taska di Cyberjaya dan belum dikurniakan cahaya mata.

Rahimah berkata, arwah suaminya pernah menyuarakan hasrat untuk mendermakan organ sejak 2019, iaitu dua tahun selepas mereka mendirikan rumah tangga.

Mengimbas detik pemergian suaminya, Rahimah berkata, ar­wah menjalani pembedahan jantung membabitkan tiga saluran di Institut Jantung Negara (IJN) pada 14 September lalu sebelum ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) selama kira-kira dua minggu.

Allahyarham dibenarkan keluar hospital pada 4 Oktober sebelum diserang strok ketika berada di rumah pada 4 November lalu.

Keadaan Allahyarham kemudian dilaporkan kritikal apabila mengalami pendarahan dan pembengkakan otak yang serius sehingga doktor mengesahkan kematian otak pada 7 November.

Hasil pendermaan itu, sepasang kornea mata dan dua buah pinggang Allahyarham berjaya didermakan menerusi proses yang dilakukan di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM).

Sepasang mata didermakan ke­pada bayi, manakala buah ping­gang kiri didermakan kepada seorang lelaki berusia 29 tahun dan kanan kepada lelaki 36 tahun.

Rahimah berkata, dia dimaklumkan pada Selasa lalu bahawa kedua-dua penerima buah pinggang menunjukkan perkembangan positif dan sudah dipindahkan ke wad biasa.

Dalam pada itu, dia berharap berpeluang bertemu dengan penerima organ arwah suami­nya sekiranya mereka bersedia, meskipun memahami bahawa identiti penerima perlu dilin­dungi atas faktor privasi.

“Saya sudah maklumkan kepada pihak hospital bahawa saya bersedia beri maklumat peribadi sekiranya penerima mahu menghubungi atau bertemu saya.

“Saya memang berharap dapat berjumpa dengan mereka. Kalau melalui perkongsian ini mereka terbaca kisah arwah, saya harap kita dapat dipertemukan suatu hari nanti,” katanya.

Mengulas mengenai kesedaran pendermaan organ, Rahimah berkata, masyarakat perlu melihat perkara itu daripada sudut harapan yang mampu diberikan kepada individu lain, bukannya hanya memikirkan kebimbangan terhadap proses pendermaan.

“Kita kena ingat ada orang yang setiap hari berharap dan berdoa supaya ada penderma. Ada bayi yang memerlukan penglihatan dan ada pesakit yang sudah bertahun-tahun menunggu buah pinggang.

“Jangan fikir kita tidak memerlukannya kerana sebenarnya ramai yang sangat memerlukan. Pendermaan organ juga boleh menjadi pahala yang berpanjangan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN