MEMANG menjadi kenangan percutian di luar negara yang tidak dapat saya lupakan apabila berpeluang menjelajah negara Balkan secara ‘diy’ (do it yourself) pada Oktober tahun lalu hanya bersama ibu, Zainon yang berusia 61 tahun dan anak kecil, Humaira yang berusia satu tahun 11 bulan. Percutian ini menjadi istimewa kerana melibatkan tiga perempuan daripada tiga generasi menelusuri lapan buah negara selama 16 hari.
Perjalanan kami dimulakan dari Kuala Lumpur menaiki kapal terbang singgah sebentar di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu kemudian ke Turkiye seterusnya ke North Macedonia.
Kemudian dari situ, kami menyusuri jalan darat menaiki bas ke negara Kosovo, Albania, Montenegro, Croatia dan akhirnya Bosnia & Herzegovina.
Pada perancangan awal, suami saya mahu mengikuti kembara Balkan kami ini, tetapi akhirnya dia tidak dapat ikut serta atas kekangan kerja. Boleh sahaja saya membatalkan kembara ini kerana tiada sebarang tempahan yang dibuat ketika itu, namun setelah dipertimbangkan semula saya tetap nekad meneruskan pengembaraan ini untuk merealisasikan impian menjelajah negara Balkan.
Sejak di bangku sekolah rendah lagi saya sudah menanam cita-cita untuk mengelilingi dunia.
Pada waktu itu saya terlihat gambar Stari Most, jambatan lama di bandar Mostar yang terletak di negara Bosnia & Herzegovina. Saya sangat terpukau melihat kecantikan tempat tersebut dan sejak itu saya memasang impian untuk menjejak kaki ke tempat itu dan menjelajah negara-negara Balkan yang berdekatan.

Negara-negara Balkan terletak di rantau Eropah Tenggara yang kaya dengan sejarah, kebudayaan serta keindahan alam semula jadi dan semestinya banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan.
Kami berpeluang melawat masjid-masjid lama dan tempat-tempat bersejarah hasil peninggalan pemerintahan Empayar Uthmaniyyah (Ottoman) antaranya di bandar Prizren, Kosovo dan bandar Shkoder di Albania.
Selain itu, antara aktiviti menarik yang kami lakukan ialah menaiki Tembok Kota Dubrovnik yang merupakan tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO). Kami dapat melihat keseluruhan bandar lama Dubronik yang terletak di negara Croatia dari atas sambil menikmati pemandangan Laut Adriatic.

Di bandar Kotor yang terletak di Montenegro pula kami dapat menaiki bot laju menerokai keindahan Teluk Kotor serta pesisir Laut Adriatic. Kami turut singgah ke Gua Biru, Terowong Kapal Selam Tentera dan Pulau Our Lady of the Rocks.
Sepanjang mengembara di negara Balkan, kami dapat mempelajari tentang kepelbagaian agama dan budaya tempatan. Kami dapat belajar nilai-nilai sejarah, contohnya sejarah genosid Srebrenica di Bosnia & Herzegovina.
Sehingga kini masih terdapat kesan tembakan natijah peperangan ini di bangunan-bangunan mereka. Kami dapat melihat rakyat mereka masih memperingati peristiwa tersebut kerana terdapat banyak poster atau mural di bandar Sarajevo khusunya membuatkan kami belajar betapa pentingnya keamanan dan kestabilan sesebuah negara.
Selain itu, banyak juga yang saya dapat belajar dan refleksi diri daripada pengembaraan ini. Mengembara hanya bersama ibu dan anak saya membuatkan saya lebih berani dan mengasah kemahiran berfikir yang tinggi dalam membuat sesuatu perkara atau menyelesaikan masalah kerana saya adalah tonggak utama mereka.
Kami juga belajar yang kerjasama amat penting semasa mengembara bersama. Ibu saya banyak menolong menguruskan anak saya sementara saya menguruskan dua bagasi semasa kami berpindah dari satu negara ke satu negara.

Ada waktu kami akan terserempak dengan orang Malaysia semasa mengembara di Balkan. Rata rata akan memuji saya hebat kerana membawa ibu dan anak kecil mengembara sendirian tanpa orang lain atau lelaki tetapi bagi saya ibu dan anak saya yang paling hebat kerana pada usia mereka sebegitu mereka mampu mengembara ke banyak negara tanpa penat, seronok dan sihat sepanjang perjalanan.
Saya juga berasa gembira melihat anak kecil saya meneroka setiap tempat yang kami lawati dan berinteraksi bersama orang dan haiwan.
Dia amat petah bercakap pada usia sebegitu dengan asyik bertanya ‘itu apa? ini apa?’ apabila kami berjalan.
Apa yang boleh saya kongsikan, percutian ke lapan negara Balkan ini memerlukan saya membuat perancangan teliti.
Saya perlu memilih hotel yang sesuai dan berdekatan dengan tempat lawatan juga pengangkutan yang perlu kami ambil sepanjang pengembaraan tersebut.
Saya banyak mencari maklumat dan membuat kajian untuk membuat jadual perjalanan sendiri daripada laman sesawang seperti blog mahupun membaca pengalaman daripada mereka yang pernah pergi ke negara Balkan daripada media sosial.
Pada waktu inilah sebenarnya tercetusnya idea untuk saya mencipta kandungan di media sosial agar saya juga dapat berkongsi pengembaraan saya dan memberi manfaat kepada orang lain seperti mana saya mendapat manfaat daripada mereka yang berpengalaman.
















