GUA MUSANG – Kawasan hutan sekitar perkampungan Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing, di sini yang semakin berkurangan didakwa menjadi antara faktor meningkatkan risiko kejadian kepala air dan tanah runtuh pada musim tengkujuh.
Penduduk Orang Asli dari Pos Brooke, Murad Mat, 50, berkata, keadaan itu semakin membimbangkan sejak 10 tahun lalu berikutan aktiviti pembukaan kebun sayur yang didakwa semakin tidak terkawal.
Katanya, keadaan hutan yang makin berkurangan menyebabkan aliran air hujan dari kawasan tanah tinggi menjadi deras sehingga paras air sungai meningkat dengan pantas.
“Penduduk Orang Asli bimbang akan keselamatan ahli keluarga apabila hujan lebat kerana air sungai menjadi deras dan naik dengan pantas.
“Sejak 10 tahun lalu, saya melihat keadaan ini makin ketara seolah-olah tiada kawalan terhadap aktiviti pembukaan kebun sayur di kawasan Lojing,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Murad berharap kerajaan negeri dapat memantau kawasan kebun di Lojing dan mewajibkan pengusaha menyediakan takungan air hujan bagi menampung air yang mengalir dari bumbung plastik kebun.
Katanya, berdasarkan pemerhatiannya, air bercampur selut dari kawasan kebun mengalir ke jalan raya sehingga membahayakan pengguna.
“Jalan berlubang berhampiran Kampung Jekjok sebelum ini juga dipercayai berpunca daripada aliran air dari kawasan kebun sayur di atas bukit,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Kampung Brooke Lama, Rian Bujang berkata, penduduk yang tinggal berhampiran kawasan pertanian hidup di Tanah Tinggi Lojing sentiasa dalam kebimbangan setiap kali musim tengkujuh.
Katanya, keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa sentiasa berjaga-jaga sehingga ada yang tidak lena tidur kerana bimbang keselamatan mereka terancam.
“Aktiviti kerja tanah di kawasan pertanian sewajarnya dikurangkan atau dihentikan sementara ketika musim hujan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
“Orang Asli yang tinggal di pinggir kawasan kebun berisiko menjadi mangsa sekiranya berlaku banjir lumpur atau tanah runtuh. Kita berharap kerajaan negeri dan agensi berkaitan dapat memperketat penguatkuasaan serta peraturan terhadap aktiviti pekebun bagi memastikan keselamatan penduduk setempat terjamin,” ujarnya.
















