MADRID – Pertemuan dengan England pada aksi terakhir Liga A3, awal pagi esok menjadi pentas buat Sepanyol untuk melunaskan dua misi berbeza.
Selain peluang untuk menamatkan aksi sebagai juara kumpulan, skuad kendalian Luis De La Fuente yang raih kemenangan bersih dalam lima aksi awal peringkat kumpulan kini bercita-cita untuk melebarkan rekod tanpa kalah buat kali ke 44.
Walaupun sudah mengesahkan tempat ke pusingan suku akhir, De La Fuente sedar cabaran sukar menanti anak buahnya dan tetap mengharapkan tiga mata mampu diraih ke atas The Three Lions
“Kami mahu mengekalkan momentum dan melebarkan rekod ini. Namun, kami juga perlu menerima hakikat yang semakin banyak perlawanan dilalui, semakin hampir juga kami dengan kekalahan,” katanya.
Malah, La Roja kini mendapat berita gembira apabila dua bintang utamanya, Lamine Yamal dan Mikel Oyarzabal hampir pasti untuk kembali perkuatkan pasukan dalam misi mencatat dominasi penuh ke atas England.
De La Fuente begitu mengharapkan ketajaman jentera serangan kerana sedar tugasan akan menjadi lebih sukar pada perlawanan akan datang.
“Lamine Yamal berada dalam keadaan baik dan dia makin tidak sabar untuk sertai pasukan, begitu juga dengan Mikel,” katanya. – AGENSI
















