HULU SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden kepala air di Sungai Luit, Kampung Orang Asli Pertak, di sini, hari ini memfokuskan pencarian di sektor B, C dan D dengan menggunakan pelbagai teknik termasuk bantuan unit anjing pengesan (K9) serta dron.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pasukan SAR terdiri daripada Unit STORM JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) SEIRA dan MGP melaksanakan pencarian terperinci di kawasan titik panas (Hot Spot) B menggunakan teknik sweep and sniff.
Menurutnya, pencarian di sektor C pula melibatkan dua ekor anjing K9 dan pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM di kawasan jeram terakhir (last rapid) serta rumpun sampah kayu menggunakan teknik sniff and dive.
“Dua dron daripada PGU Operasi turut digunakan bagi melaksanakan pencarian di permukaan air di sektor D.
“Selain itu, penambahan anggota penyelam daripada PPDA JBPM Selangor turut dilakukan bagi memperincikan operasi pencarian di sektor C,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi pencarian di sektor C turut dibantu dua ekor anjing daripada unit K9 JBPM.
Semalam, media melaporkan SAR dua lelaki warga India yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Sungai Luit, akan disambung jam 7 tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang Isnin lalu, lapan lelaki daripada empat kumpulan pengunjung dihanyutkan arus deras akibat kepala air ketika berada di kawasan rekreasi Sungai Pertak.
Daripada 34 individu yang terbabit, seramai 26 berjaya menyelamatkan diri atau diselamatkan, manakala enam daripada lapan mangsa yang dihanyutkan arus sudah ditemukan meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE















