Tangkap layar rakaman CCTV memaparkan wanita memeluk peniaga selepas menukar kerusi untuk keselesaannya.

Sekadar tukar kerusi, dibalas pelukan dan ciuman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan seorang peniaga menukar kerusi supaya seorang wanita dapat duduk bersandar dengan lebih selesa mengundang rasa sebak selepas wanita itu secara spontan memeluk dan menciumnya sebagai tanda penghargaan.

Momen menyentuh hati itu dirakam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) sebelum dikongsikan oleh pemilik sebuah premis makanan menerusi Threads.

Menurutnya, dia tidak menyangka tindakan kecil yang dilakukan itu mendapat reaksi cukup menyentuh hati daripada wanita berkenaan.

“Cuma tukarkan kerusi supaya mak cik boleh duduk bersandar dengan lebih selesa. Tak sangka mak cik terus peluk dan cium saya. Sebak.

“Balik tengok rakaman CCTV, senyum sendiri. Kadang-kadang momen kecil macam nilah yang buat penat berniaga terasa ringan. Terima kasih, mak cik. Sihat selalu ya,” katanya.

Perkongsian tersebut meraih lebih 76,300 tanda suka dan mengundang pelbagai reaksi netizen yang turut tersentuh melihat keikhlasan kedua-dua individu dalam rakaman berkenaan.

Rata-rata menyifatkan tindakan peniaga itu mungkin kelihatan kecil, namun cukup bermakna buat individu yang menerimanya, terutama apabila layanan baik diberikan dengan penuh keikhlasan.

Seorang pengguna Threads, @mr.kumbang berkata, wanita itu mungkin seorang yang sering melakukan kebaikan sehingga mudah tersentuh apabila menerima layanan serupa daripada orang lain.

“Pasti mak cik tu orang baik dan suka buat kebaikan. Bila ada orang lain yang buat kebaikan dekat dia, automatik dia akan rasa sebak dan terharu,” katanya.

Sementara itu, @fatehasara berharap peniaga berkenaan sentiasa dimurahkan rezeki kerana tindakan yang dianggap biasa itu sebenarnya memberi makna besar kepada orang lain.

“Murah rezeki selalu awak. Awak nampak benda itu biasa, tetapi kepada orang yang rasa dihargai, ia sangat-sangat besar,” katanya.

“Tak sangkanya, perkara kecil macam itu dibalas dengan peluk dan cium. Tambah-tambah oleh mak-mak. Yang tengok ini pun sebak sekali,” komen @syfaremy.

“Kadang-kadang, apa yang kita anggap kecil dan biasa, sebenarnya memberi makna yang cukup besar dalam hidup orang lain,” tulis @fikriakram pula. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN