PETALING JAYA – Sambutan Deepavali yang diraikan penganut agama Hindu wajar dijadikan sebagai wadah mempereratkan perpaduan, merapatkan jurang antara kaum serta menyemai nilai ihsan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Deepavali hadir membawa sinar kegembiraan, menyemarakkan semangat ‘pesta cahaya’ yang melambangkan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan menundukkan keburukan serta ilmu membebaskan manusia daripada belenggu kejahilan dan keangkuhan.
“Dalam masyarakat majmuk yang berteraskan kepelbagaian budaya dan tradisi, nilai saling menghormati, memahami dan menerima perbezaan harus terus diperkukuh.
“Semoga Deepavali kali ini menyuntik semangat baharu untuk membina pemikiran yang lebih terbuka, murni dan progresif, sekali gus mengangkat martabat rakyat serta memperkukuh keharmonian negara,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada seluruh masyarakat yang meraikannya.
“Semoga cahaya Deepavali terus menyinari kehidupan dengan kebahagiaan, kedamaian dan kesejahteraan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















