SHAH ALAM – Peguam Negara diminta segera menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon ampun dan memberikan penjelasan berhubung permasalahan berkait isu pengampunan bersyarat melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu bagi membolehkan Peguam Negara memperincikan kekangan undang-undang yang timbul susulan titah berkenaan, terutama berkaitan kes kedua Najib yang membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Terdahulu Kosmo! melaporkan, sebarang hujah yang mempertikai perintah pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Seri Paduka Baginda bertitah, semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, justeru tidak timbul sebarang kekeliruan tafsiran atau ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang diperkenankan.
Baginda turut menegaskan bahawa perintah berkenaan adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap Najib. – KOSMO! ONLINE
















