PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang melibatkan hampir seluruh negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak sehingga pukul 7 malam ini.
Menurut MetMalaysia menerusi kenyataan di Facebook, bagi negeri Kelantan, kawasan yang terlibat ialah Gua Musang, Pasir Puteh, Machang, Jeli, Kota Bharu dan Bachok, manakala di Terengganu membabitkan Kemaman dan Dungun.
“Di Pahang, amaran berkenaan melibatkan Cameron Highlands, Raub, Jerantut, Maran, Rompin, Bera, Pekan dan Kuantan.
“Bagi Negeri Sembilan, kawasan yang terlibat ialah Seremban, Tampin dan Jempol, manakala di Johor membabitkan Tangkak, Segamat dan Pontian,” katanya.
Amaran turut melibatkan seluruh Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak serta Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Di Sarawak, amaran berkenaan melibatkan Tebedu di Serian, Kuching dan Bau di Kuching, Limbang, Marudi, Beluru dan Telang Usan di Miri, Lubok Antu di Sri Aman, Julau, Pakan dan Sarikei di Sarikei, Betong serta Sebauh di Bintulu.
Sementara itu, di Sabah, amaran melibatkan seluruh kawasan Pedalaman, Sandakan dan Pantai Barat, selain Kalabakan di Tawau.
MetMalaysia berkata, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi satu jam.
“Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















