MASA depan Owono dalam bola sepak profesional menjadi tanda tanya apabila mempertimbangkan untuk bersara susulan beban emosi yang ditanggung. - Foto ihsan AFP

Penjaga gol kontroversi trauma, mahu bersara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MADRID – Penjaga gol FC Andorra, Jesus Owono dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menamatkan karier profesionalnya pada usia 25 tahun selepas terkesan dengan insiden perlanggaran tragis yang mengorbankan penyerang Tenerife, Jesus de Miguel.

Insiden menyayat hati itu berlaku pada minit-minit akhir perlawanan antara Tenerife dan FC Andorra dalam saingan divisyen dua Sepanyol apabila De Miguel mengalami serangan jantung sebelum disahkan meninggal dunia.

Tragedi berkenaan meninggalkan kesan mendalam terhadap Owono yang kini bergelut dengan tekanan emosi susulan tragedi tersebut.

Bekas penyelaras umum Persekutuan Bola Sepak Equatorial Guinea, Ana Maye mengakui Owono masih sukar menerima apa yang berlaku dan pertimbang untuk bersara.

“Walaupun ramai cuba memberikan sokongan dan menenangkannya, keadaan ini amat sukar. Dia sangat terkesan, terutama apabila memikirkan balu Miguel dan anak kecil yang ditinggalkannya.

“​​Owono sendiri tidak tahu bagaimana hendak menghadapi semua ini,” katanya .

Lebih membimbangkan, kesan tragedi itu turut dirasai seluruh keluarga Owona apabila mereka dilaporkan berdepan gangguan dan kecaman yang melampau di laman sosial.

Owono sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan rasmi bagi meluahkan kesedihan atas pemergian Miguel.

“Inilah hari-hari paling sukar dalam hidup saya. Amat sukar untuk mencari kata-kata atau menerima apa yang berlaku.

“Saya amat bersedih atas kehilangan Miguel. Ingatan dan doa saya bersamanya, keluarganya serta semua insan yang menyayanginya,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN