PETALING JAYA – Hanya dalam tempoh 15 jam, penjaga gol veteran Cape Verde, Vozinha kini menjadi fenomena media sosial selepas akaun Instagram miliknya mencatatkan lonjakan pengikut yang luar biasa.
Fenomena itu berlaku susulan persembahan cemerlang Vozinha yang membantu negaranya mengikat pasukan pilihan, Sepanyol dengan keputusan tanpa jaringan dalam aksi pembukaan Kumpulan H Piala Dunia, semalam.
Berdssarkan tinjauan, jumlah pengikut Instagram wira berusia 40 tahun itu dilaporkan melonjak drastik daripada 20,000 kepada 5.8 juta pengikut dalam sekelip mata.
Kehebatan yang dipamerkan oleh penjaga gol itu memikat hati peminat bola sepak seluruh dunia, sekali gus menyaksikan namanya menjadi tular di pelbagai platform media sosial.
Dalam perlawanan bersejarah itu, Vozinha yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan (Man of the Match) melakukan tujuh penyelamatan penting bagi menghalang cubaan tepat jentera serangan lawan.
Beliau turut melakar rekod sebagai penjaga gol tertua yang berjaya mengekalkan rekod bersih (clean sheet) dalam penampilan pertama di kejohanan berkenaan.
Lebih menarik, di sebalik aksi bertaraf dunia itu, Vozinha dikatakan hanya bekerja sebagai jurulatih bola tampar pantai di tanah airnya.
Kejayaan memperoleh satu mata bersejarah bagi negara yang menghuni ranking ke-67 dunia itu merupakan hasil pengorbanan serta komitmen tinggi kapten legenda tersebut. – KOSMO! ONLINE














