GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menuntut industri penerbangan merekrut juruterbang yang bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah, tembakau dan alkohol.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, ini susulan penahanan seorang juruterbang tempatan yang dipercayai terlibat kes penyeludupan dadah di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.
Menurutnya, CAP amat terkejut dengan laporan tangkapan juruterbang berusia 39 tahun itu dan menyifiatkan kejadian tersebut sebagai tanda hitam terbesar bagi industri penerbangan Malaysia.
“Keselamatan dan nyawa penumpang udara sangat penting dan berharga. Mereka (penumpang) percaya dan mempercayai sepenuhnya kepada juruterbang tersebut.
“Tugas dan tanggungjawabnya adalah memastikan dia (juruterbang) membawa pesawat dari lapangan terbang, berlepas dengan selamat ke destinasi yang dituju.
“Sikap tidak berdisiplin segelintir juruterbang tidak seharusnya merosakkan nama juruterbang lain yang baik dan berdisiplin,” katanya di sini, hari ini.
Beritahu beliau lagi, pihak berkuasa berkenaan juga seharusnya merekrut juruterbang yang bebas daripada sebarang pengambilan dadah, tembakau dan alkohol.
“Ramai penumpang percaya bahawa juruterbang adalah ‘Tuhan’ untuk perjalanan udara yang singkat atau panjang.
“Hak setiap penumpang adalah terjamin kerana mereka membayar tiket penerbangan,” ujarnya.
Justeru beliau menambah, industri penerbangan haruslah mengambil langkah berjaga-jaga agar juruterbang atau pembantunya berada dalam keadaan kesihatan yang baik sebelum mereka mengendalikan pesawat,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang juruterbang warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram (kg) dadah jenis ekstasi bersama sejumlah kecil syabu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Selasa lalu.
Media Indonesia sebelum ini melaporkan suspek, seorang lelaki warga Malaysia berusia 39 tahun, dipercayai cuba membawa masuk lebih 70,000 pil ekstasi seberat 25 kg ke negara itu.
Lelaki berkenaan dilaporkan mengendalikan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum ditahan pihak berkuasa di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta. – KOSMO! ONLINE














