PETALING JAYA – Meskipun perjalanan pasukan Cape Verde di Piala Dunia 2026 berakhir selepas tewas 2-3 kepada Argentina pada pusingan 32 terbaik, skuad kerdil dari Afrika itu tetap muncul sebagai pasukan yang paling mencuri hati peminat bola sepak di seluruh dunia.
Di media sosial, ramai penyokong menyifatkan Cape Verde sebagai pasukan yang membuktikan saiz sesebuah negara bukan penghalang untuk bersaing di pentas terbesar dunia, malah aksi berani dipamerkan ketika menentang juara bertahan itu menerima pujian meluas.
Wartawan bola sepak terkenal, Fabrizio Romano menerusi hantaran di Threads menyifatkan Cape Verde telah memenangi hati seluruh dunia selain menggelarnya sebagai antara kisah terbaik dalam sejarah Piala Dunia.
“Anda telah membuktikan bahawa tiada yang mustahil. Cape Verde bukan sahaja mencipta sejarah, malah berjaya menawan hati peminat bola sepak di seluruh dunia. Ini antara kisah terbaik yang pernah disaksikan dalam sejarah Piala Dunia,” ujarnya.
Seorang pengguna lain, @Ahmad_pny pula memuji semangat juang pemain Cape Verde yang berjaya memberi tentangan sengit kepada Argentina sehingga perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.
“Saya benar-benar menghormati pasukan Cape Verde. Walaupun datang dari sebuah negara kecil, mereka mempamerkan semangat juang luar biasa apabila memberi tentangan sengit kepada Argentina sehingga perlawanan berlanjutan ke masa tambahan. Prestasi mereka memang bertaraf dunia,” katanya.
Sementara itu, pempengaruh bola sepak @Refereekampung menyifatkan Cape Verde bukan lagi dianggap sekadar pelengkap kejohanan, sebaliknya berjaya membuktikan kemampuan mereka apabila hampir mengejutkan Argentina.
“Ramai fikir mereka hadir sebagai pelengkap slot, tapi sampai mampu bagi saingan dekat Argentina ni memang kita patut hormati,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @Niksyafiq87 berkata, walaupun tersingkir, Cape Verde tetap boleh berbangga kerana tiada mana-mana pasukan berjaya menewaskan mereka dalam tempoh 90 minit sepanjang kempen Piala Dunia kali ini.
“Apa jadi pun lepas ni, Cape Verde boleh bangga. Tiada siapa boleh kalahkan mereka dalam 90 minit. Malah, Sepanyol dan Argentina sendiri gagal melakukannya,” ujarnya.
Terdahulu, Cape Verde mencipta sejarah apabila mara sehingga ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 sebelum tewas 2-3 kepada Argentina selepas masa tambahan.
Untuk rekod, Cape Verde yang mempunyai kira-kira 530,000 penduduk muncul sebagai negara paling kecil dalam sejarah yang berjaya mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia. – KOSMO! ONLINE














