TORONTO – Pengendali Croatia, Zlatko Dalic meluahkan rasa kecewa terhadap mutu pengadilan selepas impian pasukannya di Piala Dunia 2026 berakhir susulan kekalahan dramatik 1-2 kepada Portugal pada aksi pusingan 32 terbaik, semalam.
Dalic menyifatkan pengadil dari Norway, Espen Eskas, gagal mengendalikan perlawanan dengan baik selepas beberapa keputusan penting dilihat tidak memihak kepada Croatia, termasuk pembatalan gol penyamaan pada penghujung permainan menerusi semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
“Saya tidak mahu mengulas terlalu banyak, tetapi mutu pengadilan memang sangat mengecewakan. Tiada satu pun keputusan yang memihak kepada kami, namun itu bukan alasan kami tewas,” katanya.
Croatia terlebih dahulu berada di depan hasil jaringan Ivan Perisic pada minit ke-53 sebelum Cristiano Ronaldo menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti 15 minit kemudian, sekali gus mencipta rekod sebagai pemain paling berusia menjaringkan gol dalam aksi kalah mati Piala Dunia.
Ketika perlawanan seakan-akan berlanjutan ke masa tambahan, penyerang gantian Goncalo Ramos muncul wira Portugal apabila menanduk masuk gol kemenangan pada minit keempat masa kecederaan babak kedua.
Bagaimanapun, Croatia menyangka mereka berjaya mengheret perlawanan ke masa tambahan apabila Josko Gvardiol menjaringkan gol beberapa saat kemudian, namun jaringan itu dibatalkan selepas VAR mengesan Mario Pasalic berada dalam kedudukan ofsaid ketika gerakan itu bermula.
Pembatalan itu menjadi gol ke-10 yang dibatalkan menerusi VAR sepanjang Piala Dunia 2026, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati penyokong Croatia yang membaling botol ke dalam padang. -AGENSI














