MARTIN dan Bezzecchi dilihat memiliki peluang besar untuk membantu Aprilia menafikan keinginan Ducati merangkul gelaran kedua menerusi kategori pengeluar. - AFP

MotoGP: Ducati berisiko hilang gelaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

VALENCIA – Biarpun berjaya memastikan pelumba mereka, Marc Marquez menjulang kejuaraan dunia, Ducati masih diselubungi kebimbangan apabila berdepan risiko kehilangan satu lagi gelaran utama.

Hujung minggu lalu di GP Portugal, Ducati meraikan kejayaan Marquez menjulang kejuaraan dunia buat kali kedua berturut-turut dan mengumpul keseluruhan lapan gelaran dalam perlumbaan kelas perdana sepanjang kariernya.

Bagaimanapun, Ducati berkemungkinan sukar untuk merangkul gelaran dalam kategori pengeluar apabila Aprilia kini mendahului dengan kelebihan sembilan mata menjelang perlumbaan terakhir di Valencia, selepas berjaya mengatasi defisit tiga mata ketika Grand Prix Portugal.

Marco Bezzecchi mendominasi perlumbaan di Portimão apabila muncul juara, diikuti Jorge Martín di tempat kedua dan Raúl Fernández di tempat ketiga, sekali gus melengkapkan podium milik Aprilia sepenuhnya.

Keputusan itu menyerlahkan kekuatan Aprilia menerusi kedua-dua pasukan kilangnya dan pasukan satelit menyebabkan Ducati perlu meraih sekurang-kurangnya 10 mata lebih banyak sepanjang perlumbaan pecut (sprint) dan Grand Prix Valencia untuk menamatkan saingan di hadapan Aprilia.

Aprilia yang juga telah mengesahkan kejuaraan bagi kategori pasukan memiliki peluang besar untuk mereka menamatkan musim dengan satu lagi gelaran utama menerusi kategori pengeluar.

Persaingan merebut tempat kedua dalam Kejuaraan Pelumba turut menjadi antara tumpuan utama menjelang perlumbaan penutup musim melibatkan Martín yang kini mengumpul 396 mata, manakala Bezzecchi hanya ketinggalan dua mata di belakang dengan 394 mata.

Pelumba Itali itu berjaya merapatkan jurang dengan begitu ketara di Portugal selepas meraih petak pertama (pole position) serta memenangi kedua-dua perlumbaan pecut dan Grand Prix utama.

Martín pula menamatkan perlumbaan Ahad di tempat kedua, sekali gus mengehadkan kehilangan mata, namun kedudukannya kini semakin terancam.

Bezzecchi berpeluang memintas rakan sepasukannya untuk menduduki tempat kedua keseluruhan seawal perlumbaan pecut pada Sabtu sekiranya dia berjaya mengutip sekurang-kurangnya tiga mata lebih banyak berbanding Martín. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN