KAKI pancing yang gemarkan cabaran pasti teruja menelusuri sungai dengan joran di tangan, memburu toman yang bersembunyi di celah reba.
Lebih mengujakan apabila pemangsa ganas itu menyambar dengan rakus umpan yang dilontarkan ke kawasan persembunyiannya.
Itulah pengalaman yang dilalui seorang pemancing tegar, Wan Muhammad Hazim Wan Salihuddin, 31, ketika memburu toman di Sungai Wakaf Stan, Binjai, Kelantan.
Bekerja sebagai petugas kesihatan, aktiviti memancing pada hujung minggu menjadi ruang buatnya untuk melepaskan tekanan selepas sibuk bekerja.
Menurut pemuda yang mesra disapa Hazim itu, dia memilih menggunakan khidmat bot tekong Dikja Mija yang disewa untuk tempoh sehari bagi membolehkannya meneroka lubuk-lubuk berpotensi di sepanjang sungai itu.
“Trip kali ini memang menyeronokkan. Kami mula memancing kira-kira pukul 7.30 pagi dan berakhir pada 1.30 tengah hari.
“Teknik yang saya gunakan adalah casting dengan gewang jenis soft plastic. Kami banyak membuat lontaran ke kawasan bawah pokok dan celah-celah struktur tebing yang menjadi tempat persembunyian toman,” katanya kepada K-Gewang baru-baru ini.
Menurutnya, teknik skipping menjadi pilihan kerana gewang boleh dilontarkan ke ruang sempit di bawah dahan pokok yang sukar dicapai menggunakan lontaran biasa.
Katanya, kaedah itu memerlukan ketepatan dan kawalan joran yang baik bagi memastikan gewang meluncur di permukaan air sebelum memasuki kawasan sasaran.
Lebih menarik, Hazim menggunakan soft plastic berbentuk ikan seluang berukuran 12 sentimeter sebagai umpan utama sepanjang trip berkenaan.
Hasilnya, toman seberat kira-kira lima kilogram berjaya didaratkan dan menjadi tangkapan terbesar sepanjang sesi memancing pada tahun ini.
“Alhamdulillah, ada juga hasil yang boleh dibanggakan. Kalau ditanya jumlah toman yang berjaya diperoleh sepanjang tahun ini, memang sudah tidak terkira banyaknya,” ujarnya.
Untuk pengetahuan kaki pancing, ikan toman atau nama saintifiknya Channa striata merupakan spesies ikan air tawar dalam keluarga Channidae yang terkenal dengan sifat agresif dan kebolehannya memburu mangsa secara hendap.
Spesies ini lazimnya mendiami sungai, tasik, paya, lombong dan kawasan perairan yang tenang serta mempunyai tumbuhan akuatik dan struktur perlindungan yang banyak.
Antara lokasi kegemarannya termasuk kawasan bawah pokok di tebing sungai, rumpun rumput, reba kayu, kawasan teratai, keladi bunting, teluk serta selekoh sungai.
Kawasan sedemikian menyediakan tempat persembunyian yang sesuai untuk toman menunggu mangsa seperti ikan kecil, udang dan haiwan akuatik lain, sebelum melakukan serangan mengejut.
Walaupun toman terkenal sebagai penghuni air tawar, namun spesies itu mempunyai toleransi terhadap perubahan keadaan air. Namun, habitat utamanya tetap perairan air tawar.
“Bagi kaki pancing yang ingin mencuba nasib memburu toman, teknik casting menggunakan gewang tiruan antara kaedah popular,” kata Hazim.
Menurutnya, plastik lembut berbentuk ikan kecil seperti seluang boleh menjadi pilihan kerana rupanya menyerupai makanan semula jadi toman.
Katanya, antara teknik yang boleh dicuba adalah skipping yakni melontar gewang supaya melantun di permukaan air dan memasuki ruang sempit di bawah dahan pokok atau kawasan bersemak.
“Karauan perlahan iaitu mengarau gewang secara terkawal dengan selingan sentapan kecil bagi menghasilkan pergerakan seakan-akan ikan kecil yang sedang berenang,” katanya.
Hazim berkata, casting di kawasan reba menuntut kemahiran membuat lontaran berhampiran kayu, rumpai air dan struktur tebing yang berpotensi menjadi tempat persembunyian toman.
Manakala gewang permukaan yang menggunakan umpan jenis topwater seperti katak tiruan atau gewang beraksi di permukaan air, khususnya di kawasan berumput dan tumbuhan akuatik juga boleh digunakan.
Hazim berkata, keghairahan mendapatkan toman bersaiz besar perlu diseimbangkan dengan langkah keselamatan ketika mengendalikan ikan yang sudah terkena mata kail.
“Toman mempunyai rahang yang kuat serta gigi tajam.
“Justeru, pemancing perlu mengawal pergerakan ikan dengan tenang dan menggunakan peralatan sesuai seperti ‘lip grip’ atau playar untuk membantu menanggalkan mata kail.
“Elakkan memasukkan jari ke dalam mulut atau kawasan insang ikan kerana tindakan itu boleh menyebabkan kecederaan kepada pemancing dan ikan,” pesan Hazim.
Ujarnya, sekiranya mahu melepaskan semula hasil tangkapan, pastikan ikan dikendalikan dengan cermat dan segera kembalikan ke dalam air sebaik sahaja mata kail ditanggalkan.
Bagi Hazim, setiap trip memancing bukan sekadar mengharapkan hasil tangkapan yang besar, sebaliknya pengalaman meneroka lubuk dan menguji kemahiran menggunakan gewang menjadi kepuasan sukar digambarkan.
“Selagi ada kesempatan pada hujung minggu, aktiviti memburu pemangsa air tawar ini pastinya diteruskan,” katanya.














